Kota Kinabalu: Dua selamat manakala seorang lagi masih hilang selepas bot dinaiki karam dalam kejadian di perairan Karambunai, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian jam 6 pagi itu, dua mangsa selamat berusia 41 dan 42 tahun manakala mangsa yang hilang berusia lingkungan 60 tahun.
Difahamkan, ketiga-tiga mangsa yang berasal dari Kampung Mengkabung, Tuaran keluar ke laut untuk memukat ikan dengan menggunakan sebuah bot.
Ketika berada di kawasan laut Karambunai, tiba-tiba cuaca bertukar mendung lalu mereka memutuskan untuk pulang ke jeti.
Bagaimanapun ketika dalam perjalanan ke jeti, berlaku ombak kuat mengakibatkan bot dinaiki mereka gagal dikawal sebelum dimasuki air lalu tenggelam.
Dua mangsa memakai jaket keselamatan yang ada di dalam bot manakala seorang lagi mangsa hanya berpaut pada tong bekas minyak.
Kedua-dua mangsa kemudian berenang ke arah pantai untuk cuba mendapatkan bantuan dan terpisah dengan seorang lagi rakannya yang mengarahkan kedua-dua mereka untuk berenang dan selamatkan diri.
Selepas lebih tiga jam akhirnya kedua-dua mangsa selamat tiba di tepi pantai Nexus Karambunai dan meminta bantuan daripada petugas di resort berkenaan untuk menghubungi keluarga dan pihak berkuasa.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah ketika dihubungi mengesahkan mengenai kejadian itu dan kedua-dua mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan hanya keletihan kerana lebih tiga jam terapung dan berenang ke darat.
“Sehingga kini tiada perkembangan lanjut berkenaan mangsa yang masih hilang dan usaha mencari masih giat dijalankan,” katanya.
Yang turut dalam operasi mencari dan menyelamat Pasukan Polis Marin (PPM); Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah; Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia); bot nelayan awam.
-Deasoka