Belum ada sebarang tindakan daripada UMNO Pusat – Shahelmey

Belum ada sebarang tindakan daripada UMNO Pusat – Shahelmey

Putatan: Ahli Parlimen Putatan, Datuk Shahelmey Yahya belum menerima sebarang makluman mengenai tindakan yang bakal diambil kepimpinan tertinggi UMNO terhadapnya berikutan keputusannya menyokong kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, baru-baru ini.

Justeru, beliau menyeru kepada semua pihak untuk bertenang dan menunggu sebarang keputusan yang akan diumumkan kelak.

“Seperti apa yang dinyatakan oleh Presiden (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi), Lembaga Disiplin akan bermesyuarat dan seterusnya akan dibawa ke mesyuarat Majlis Tertinggi.

“Jadi kita tunggu, kita bertenang dan tunggu apa keputusan yang akan dimaklumkan atau diumumkan kelak.

“Setakat ini, belum terima surat,” katanya ketika ditemui media selepas menyempurnakan Program Kesedaran Keselamatan Jalan Raya, di Teluk Dumpil, Putatan, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat berkata demikian ketika ditanya sekiranya sudah menerima surat tindakan daripada UMNO Pusat, susulan keputusannya menyatakan sokongan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Dalam pada itu, Shahelmey berkata, secara tidak rasmi, beliau difahamkan bahawa kepimpinan UMNO Sabah ingin tindakan diambil ke atas lima ahli UMNO Sabah terbabit dalam isu itu termasuk dirinya.

“Itu adalah kehendak kepimpinan UMNO Sabah, jadi ia akan dibawa ke Lembaga Disiplin untuk dinilai dan seterusnya diputuskan oleh mesyuarat tertinggi.

“Jadi kita ikut peraturan, apa juga keputusan yang akan dimaklumkan nanti, kita terima,” katanya.

Zahid dalam satu sidang media Isnin lalu memaklumkan bahawa UMNO belum mengambil apa-apa tindakan terhadap ADUN mereka di Sabah, yang bertindak membelakangkan keputusan parti sebelum ini.

Jelasnya, tindakan terhadap lima ADUN itu diputuskan secara berasingan daripada tindakan lain yang dibuat UMNO.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|