Jabatan, agensi kerajaan perlu ambil langkah wajar kendalikan projek – Masidi

Jabatan, agensi kerajaan perlu ambil langkah wajar kendalikan projek – Masidi

Kota Kinabalu: Semua jabatan dan agensi kerajaan negeri diingatkan supaya memastikan segala usaha yang sewajarnya dilaksanakan, terutama dalam mengendalikan projek kerajaan.

Menteri Kewangan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, ia harus dilakukan dalam semua projek tanpa mengira nilainya, bagi memastikan setiap ringgit yang dibelanjakan oleh kerajaan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat.

“Saya ingin memastikan bahawa semua penyiasatan dan pengubahsuaian yang diperlukan, sebelum dan selepas kelulusan projek, dijalankan dengan betul dan mengikut prosedur standard.

“Ini bagi memastikan setiap projek yang diluluskan kerajaan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat Sabah dan tiada kelemahan yang disalahgunakan serta kerajaan tidak menjadi mangsa penipuan,” katanya ketika mempengerusikan mesyuarat K56 Trust Account, di Menara Kinabalu, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan ingin memastikan rakyat Sabah dapat menikmati faedah pembangunan dan penambahbaikan kepada kehidupan dan mata pencarian mereka.

“Justeru itu, kita mesti sentiasa melakukan apa yang betul, bukan apa yang popular.

“Projek dari semua peringkat dan nilai perlu dilayan dengan tahap ketekunan dan perhatian yang sama, tanpa mengira sama ada ia dijalankan oleh kontraktor atau syarikat konsesi,” katanya.

Sementara itu, semalam Masidi turut mengalu-alukan pelantikan Pembantu Menteri Kewangan, Tan Lee Fatt yang telah mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin, pada minggu lalu.

Tambah Masidi, beliau percaya pasukannya akan diperkukuhkan lagi dengan kehadiran Tan, bersama-sama dengan Pembantu Menteri Kewangan, Datuk Julita Majungki dan Setiausaha Politik, Rina Jainal.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|