Polis Tawau giatkan operasi cegah jenayah

Polis Tawau giatkan operasi cegah jenayah

Tawau: Polis Tawau mempergiatkan operasi pencegahan jenayah bagi mengurangkan kadar jenayah di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, operasi ini dijalankan oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Unit Pencegahan Jenayah Balai Polis Tawau.

Katanya, tujuan operasi ini adalah untuk memerangi jenayah di semua tempat terutama kes-kes samun tepi jalan, pecah rumah dan lain-lain kes kecurian yang menjadi tumpuan utama bagi mewujudkan persepsi rasa selamat terhadap masyarakat di daerah ini.

“Selain itu, pemeriksaan di bengkel motosikal juga dijalankan khususnya motosikal yang disyaki hilang mahupun terlibat dalam pengubahsuaian bagi kegiatan lumba haram atau samseng jalanan.

“Operasi yang diketuai oleh Ketua Balai Polis Tawau, Asisten Superintendan Jafri Abdul Hamid telah memeriksa sebanyak 19 motosikal di beberapa lokasi.

“Antaranya di kawasan Tanjung Batu Darat, kawasan Air Panas Sin Onn, kawasan Jalan Timur, Sin Onn, kawasan Kampung Jawa Kongsi 8, kawasan Kinabutan dan kawasan Kau Sing B, Batu 8 Jalan Apas,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Jasmin berkata, media adalah berperanan sebagai rakan sekerja dalam pencegahan jenayah dan laman sosial Facebook (FB) Polis Daerah Tawau juga adalah satu platform antara pihak polis dan masyarakat untuk berhubung termasuklah memberi komen dan cadangan serta pengkongsian maklumat kepada polis.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|