Dua lelaki hilang dalam kejadian bot karam di Tongod

Dua lelaki hilang dalam kejadian bot karam di Tongod

Beluran: Dua lelaki dilaporkan hilang selepas bot dinaiki dipercayai karam dalam kejadian di Sungai Tagas-Tagas, Tongod, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, kedua-dua mangsa yang dikenali sebagai Darus dan Chong Yong Fit dilaporkan menaiki bot berkenaan untuk mendapatkan rawatan di Hospital Beluran.

Pasukan bomba dan polis dikerah ke lokasi kejadian bot karam di Sungai Tagas-Tagas, Tongod.

Bagaimanapun, kehilangan kedua-dua mangsa hanya disedari orang awam selepas menemui tong minyak bot dan beg mangsa terapung di lokasi kejadian.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.30 pagi.

Katanya, sepasukan empat anggota dan pegawai bersama pacuan empat roda serta bot terus dikerah ke lokasi kejadian.

“Menurut pemanggil, kedua-dua mangsa dilaporkan bergerak ke Pekan Beluran untuk ke hospital dari Sabah Palm Tongod menaiki bot.

“Pemanggil kemudiannya memaklumkan menemui tong minyak dan beg mangsa terapung di lokasi kejadian pada jam 8.30 pagi,” katanya dalam kenyataan media yang dilaporkan, hari ini.

Menurutnya, pasukan bomba dan polis yang sedang melakukan pemantauan banjir di kawasan Kampung Tagas-Tagas Pamol turut digerakkan ke lokasi kejadian untuk membantu.

Katanya, setakat ini, pasukan operasi melakukan pencarian dengan menggunakan kaedah ‘Surface Searching’.

“Namun setakat ini tiada penemuan atau petunjuk ditemui dan sebarang maklumat lanjut akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|