Banjir kilat: Sistem perparitan di 50 kawasan sudah dibersihkan

Banjir kilat: Sistem perparitan di 50 kawasan sudah dibersihkan

Putatan: Sistem perparitan di 50 kawasan di seluruh negeri yang dikenal pasti menjadi punca banjir kilat sudah dibersihkan dalam usaha mengatasi masalah banjir kilat.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, jabatan dan pihak berkuasa tempatan (PBT) melakukan kerja pembersihan itu dari semasa ke semasa.

Beliau berkata, selain taburan hujan yang agak tinggi, terdapat juga beberapa faktor lain yang menyebabkan kejadian banjir kilat di negeri ini, termasuk masalah parit tersumbat.

“Antaranya seperti parit yang tersumbat, perancangan atau pembinaan yang tidak berkolaborasi menyebabkan aliran perparitan menjadi rumit dan ini menyebabkan kejadian banjir kilat.

“Terdapat 50 kawasan di seluruh negeri ini di mana telah dibersihkan sistem perparitannya yang juga salah satu faktor berlaku banjir kilat.

“Oleh itu, apa yang dilakukan ialah pihak berkuasa tempatan dan juga jabatan yang terlibat akan melakukan pembersihan dari semasa ke semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyempurnakan Program Kesedaran Keselamatan Jalan Raya, di Teluk Dumpil, di sini, hari ini.

Ditanya mengenai prasarana yang terjejas akibat banjir di negeri ini, Shahelmey berkata, pihaknya masih mendapatkan maklum balas daripada jurutera di daerah yang terjejas.

“Kita masih lagi secara berterusan untuk mendapatkan maklum balas daripada jurutera-jurutera di kawasan yang terlibat banjir.

“Seperti di kawasan utara Sabah di mana ada jalan yang terputus, hanyut, tanah runtuh dan sebagainya, jurutera kita sentiasa dalam keadaan bersedia dalam tempoh bencana,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai keadaan jalan raya yang sentiasa banjir apabila berlaku hujan lebat, Shahelmey berkata, perkara itu perlu diuruskan bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

“Memang ada perancangan, mitigasi banjir dan sebagainya cuma mungkin disebabkan oleh pelaksanaan yang berfasa telah mengakibatkan gangguan terhadap apa yang dirancang,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|