Belanjawan 2023: RM6.5 bilion peruntukan pembangunan untuk Sabah

Belanjawan 2023: RM6.5 bilion peruntukan pembangunan untuk Sabah

Kota Kinabalu: Sabah dan Sarawak terus meraih manfaat besar daripada peruntukan pembangunan dalam Belanjawan 2023, masing-masing mendapat RM6.5 bilion dan RM5.6 bilion.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peruntujan itu termasuk perancangan untuk membangunkan bandar yang bersempadan dengan Kalimantan, Indonesia seperti Kalabakan di Sabah dan Ba’kelalan, Sarawak.

Katanya, usaha itu membabitkan kos RM1 bilion sebagai langkah menyambung perpindahan ibu negara Indonesia ke Kalimantan.

“Selain itu, lebih RM2.5 bilion disediakan bagi melaksanakan projek melibatkan prasarana awam yang kebanyakannya untuk manfaat Sabah dan Sarawak, melibatkan projek jalan dan lampu jalan serta bekalan air dan elektrik,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat, petang tadi.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan Persekutuan turut komited menerus dan menyegerakan pelaksanaan Lebuhraya Pan Borneo Sabah dan Sarawak-Sabah Link Road yang dianggarkan melibatkan kos keseluruhan RM20 bilion dengan jajaran lebih 1,000 kilometer.

Anwar turut menekankan untuk memastikan pembinaan lebuh raya itu dipercepatkan kerana tidak mahu ia dibangkitkan berulang kali hingga 20 tahun masih disebut di Parlimen.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, bagi memudahkan urusan rakyat di pedalaman Sabah dan Sarawak, kerajaan persekutuan juga akan memperbanyak kemudahan klinik, bank dan mahkamah bergerak dengan peruntukan keseluruhan RM30 juta.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|