Peruntukan pembangunan untuk Sabah naik 3.1 peratus

Peruntukan pembangunan untuk Sabah naik 3.1 peratus

Kota Kinabalu: Peruntukan pembangunan yang diagihkan kepada Sabah naik 3.1 peratus kepada RM6.5 bilion dalam Belanjawan 2023 yang dibentangkan semula Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata jumlah itu lebih besar berbanding dalam Belanjawan 2023 yang dibentangkan kerajaan sebelum ini pada Oktober lalu.

“Kita mengalu-alukan peruntukan RM6.5 bilion untuk Sabah yang mana jumlah itu menunjukkan 3.1 peratus lebih tinggi berbanding yang dibentangkan dalam belanjawan asal oleh kerajaan sebelum ini,” katanya mengulas pembentangan semula Belanjawan 2023 oleh Perdana Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Hajiji turut menyaksikan pembentangan itu melalui siaran televisyen di kediaman rasminya di Sri Gaya, di sini.

Turut bersama beliau ialah Menteri Kewangan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong; Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan negeri, Datuk Sofian Nair dan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Negeri Sabah, Datuk Datu Rosmadi Sulai.

Sementara itu, Hajiji menyifatkan menyifatkan Belanjawan 2023 yang dibentangkan semula Perdana Menteri sebagai gambaran komitmen Kerajaan Perpaduan Persekutuan dalam menangani situasi kewangan dan memberi tumpuan terhadap keperluan rakyat seluruh negara.

Katanya, kerajaan negeri mengalu-alukan 12 inisiatif Belanjawan Malaysia Madani itu yang turut merangkumi pelbagai manfaat kepada rakyat dan negeri Sabah.

Beliau berkata, selain peruntukan pembangunan RM6.5 bilion, kerajaan negeri juga mengalu-alukan RM2.5 bilion lagi yang diperuntukkan kepada Sabah dan Sarawak untuk melaksanakan projek kemudahan awam seperti jalan raya, lampu jalan dan bekalan elektrik serta air.

Jelasnya, kerajaan negeri turut menghargai komitmen kerajaan persekutuan untuk mempercepatkan pembinaan lebih 1,000 kilometer projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah dan Sabah-Sarawak Road Link dengan peruntukan sebanyak RM20 bilion.

Anwar turut mengarahkan Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof untuk melihat perkara itu bagi memastikan projek Lebuhraya Pan Borneo tidak berterusan menjadi topik perbincangan dalam setiap pembentangan belanjawan sehingga 20 tahun akan datang.

Hajiji turut mengalu-alukan tekad kerajaan persekutuan yang diumumkan Perdana Menteri sebelum ini berhubung penyerahan kuasa melulus bagi perolehan projek Persekutuan kepada Jabatan Teknik di Sabah dan Sarawak sehingga RM50 juta bagi mempercepat pelaksanaan projek.

“Komitmen Perdana Menteri untuk mempercepat usaha membasmi kemiskinan tegar melalui Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) pada tahun ini juga adalah satu langkah yang baik dan kita berharap pelaksanaannya berjalan lancar bagi memastikan sasarannya tercapai,” katanya.

Selain itu, Hajiji menyifatkan komitmen Perdana Menteri mengenai peruntukan RM1 bilion kepada Sabah dan Sarawak bagi melaksanakan pembangunan bandar bersempadan dengan Kalimantan, Indonesia termasuk Kalabakan sebagai langkah penting bagi memanfaatkan perpindahan ibu negara Indonesia ke Kalimantan.

Katanya, kerajaan negeri juga akan terus meminta untuk melaksanakan pembinaan kemudahan kastam, imigresen, keselamatan dan kuarantin (CIQS) seperti dilaksanakan di Kalabakan supaya turut diwujudkan di Bantul, Pensiangan.

Hajiji turut menyatakan penghargaan kepada kerajaan persekutuan berhubung usaha mengukuhkan aspek keselamatan dengan tambahan sebanyak 42 pos keselamatan akan dibina di kawasan sempadan termasuk di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE).

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|