JKDM Sabah rampas minuman keras, beras seludup RM378,046

JKDM Sabah rampas minuman keras, beras seludup RM378,046

Kota Kinabalu: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah mematahkan cubaan menyeludup tiga kontena berisi minuman keras dan beras wangi yang dianggarkan bernilai RM378,046 termasuk cukai dalam dua kes berasingan di Pelabuhan Sepanggar, di sini, Rabu lalu.

Rampasan itu dijalankan sepasukan anggota daripada Cawangan Siasatan Khas dengan kerjasama Cawangan Import Eksport Pelabuhan Sepanggar dan Unit Operasi Penguatkuasaan Kota Kinabalu.

Mohd Nasir (kanan) menunjukkan beras yang cuba diseludup masuk ke dalam negara melalui Pelabuhan Sepanggar, Kota Kinabalu

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah, Mohd Nasir Deraman berkata, bertindak berdasarkan hasil penilaian risiko imej imbasan mesin pengimbas di PelabuhanSepanggar jam 9.15 pagi pada 22 Februari lalu, pasukan serbuan membuat penahanan terhadap sebuah kontena disyaki berisi minuman keras yang cuba diseludup masuk ke dalam negara ini melalui Pelabuhan Sepanggar.

Katanya, hasil pemeriksaan awal terhadap kontena yang ditahan, pasukan serbuan kastam menemui sebuah kontena mengandungi sejumlah 23,520 liter minuman keras jenis bir dengan anggaran nilai harga RM85,200 dan nilai duti serta cukai RM346,500.

Mohd Nasir (kanan) menunjukkan beras yang cuba diseludup masuk ke dalam negara melalui Pelabuhan Sepanggar, Kota Kinabalu

“Kes kedua pada hari yang sama jam 9.30 pagi, juga bertindak berdasarkan hasil penilaian risiko dan imej imbasan mesin pengimbas, pasukan serbuan membuat penahanan terhadap dua kontena disyaki berisi beras.

“Kedua-dua kontena berisi beras ini disyaki cuba diseludup masuk ke dalam negara ini melalui Pelabuhan Sepanggar,” katanya dalam sidang media di Pelabuhan Sepanggar, di sini, hari ini.

Mohd Nasir (empat dari kiri) ketika sidang media di Pelabuhan Sepanggar, Kota Kinabalu

Mohd Nasir berkata, hasil pemeriksaan awal terhadap kontena-kontena yang ditahan, pasukan serbuan menemui sebuah kontena mengandungi sejumlah 20,500 kilogram (kg) beras dengan nilai harga RM37,500 dan anggaran nilai duti serta cukai terbabit berjumlah RM20,250.

“Sebuah lagi kontena yang ditemui dianggarkan mengandungi sejumlah 20,500 kg beras pulut disyaki barang larangan dengan nilai harga RM35,300 dan anggaran nilai duti serta cukai terbabit berjumla RM11,296.

Mohd Nasir (tengah) menunjukkan minuman keras yang cuba diseludup masuk ke dalam negara melalui Pelabuhan Sepanggar, Kota Kinabalu.

“Modus operandi bagi kedua-dua kes ini adalah membuat pengikraran palsu dengan mengirar dagangan import sebagai barangan lain seperti ‘soya bean’ dan kacang hijau bagi tujuan penyeludupan dan sekali gus mengaburi mata pihak berkuasa,” katanya.

Mohd Nasir (kanan) memeriksa kontena berisi beras yang disyaki cuba diseludup masuk ke dalam negara melalui Pelabuhan Sepanggar, Kota Kinabalu

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(a) dan 52 Akta Kastam 1967.

Sementara itu, beliau berkata, orang ramai digesa membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain serta dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti penyeludupan.

“Penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi kehilangan hasil, malah ia turut mendatangkan ancaman keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.

“JKDM menyeru orang awam memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau hadir ke mana-mana pejabat JKDM yang terdekat,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|