UMNO perlu perubahan untuk kekal relevan

UMNO perlu perubahan untuk kekal relevan

Sipitang: Mengekalkan UMNO sebagai wadah relevan memerlukan perubahan jitu terutamanya di peringkat bahagian di negeri ini.

Calon Ketua Bahagian UMNO Sipitang, Sani Miasin berkata, perkara itu dilihat mampu menjadi elemen penting yang mana bukan sahaja akan menarik sokongan di setiap peringkat, malah dalam kalangan golongan muda mudi.

Jelas beliau, pengalaman UMNO sebagai parti pentadbir perlu dijadikan kayu pengukur dan ia perlu diterjemahkan dengan pembaharuan daya pimpinan.

“Saya berpendapat, cabaran politik masa kini amat memerlukan perubahan di peringkat pimpinan bahagian untuk memacu UMNO itu sendiri lebih ke hadapan.

“Di Sabah secara amnya, kita berdepan situasi berbeza berbanding negeri lain dan kita peka dengan keadaan ini.

“Sehubungan itu, bagi mengekalkan UMNO untuk kekal relevan maka perlu ada wadah segar dimulakan terutamanya di peringkat bahagian-bahagian,” katanya.

Dalam perkembangan berasingan, Sani percaya slogan yang dibawanya dalam kempen kali ini iaitu Cergas, Ceria dan Cemerlang (3C) dapat menarik minat ahli dan peringkat cawangan.

“Setakat ini, kempen saya untuk bertanding sebagai Ketua Bahagian berjalan lancar dan menerima respon positif.

“Bagaimanapun, saya terus berusaha keras untuk memenangi hati pengundi di kalangan ahli dan cawangan UMNO di sini, bagi memastikan UMNO Sipitang kekal relevan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|