65 premis tawar Menu Rahmah di Sabah – KPDN

65 premis tawar Menu Rahmah di Sabah – KPDN

Kota Kinabalu: Sejak diperkenalkan Program Menu Rahmah mendapat sambutan yang mengalakkan dengan sebanyak 65 premis di seluruh negeri mendaftar dalam program itu setakat hari ini.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah, Georgie Abas berkata, terdapat beberapa restoran yang terlebih dahulu melaksanakannya sebaik sahaja pelancaran di Semenanjung.

Georgie bersama Samin menyempurnakan Majlis Pelancaran Menu Rahmah KTYS di Kota Kinabalu.

Menurutnya, sesi libat urus bersama persatuan-persatuan pengusaha turut dilaksanakan Pejabat KPDN Negeri dan Pejabat KPDN Cawangan dengan menerima respon yang positif.

“Poster hebahan lengkap dengan kod QR bagi pendaftaran restoran/kedai makan turut dimuat naik di laman media sosial Facebook KPDN.

Antara menu yang ditawarkan menerusi Program Menu Rahmah di KTYS.

“Hebahan di dalam aplikasi WhatsApp serta edaran risalah bercetak oleh Pegawai Pemantau Harga turut dilaksanakan bagi memastikan agar program ini mendapat hebahan yang meluas serta penyertaan yang ramai dalam kalangan restoran/kedai makan di seluruh negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Menu Rahmah di Kolej Teknologi Yayasan Sabah (KTYS), di sini, hari ini.

Georgie bersama Ketua Eksekutif KTYS, Samin Ongki merasmikan Program Menu Rahmah di premis ke-64 iaitu Kafeteria Kolej Teknologi Yayasan Sabah kampus Sembulan dan premis ke-65 iaitu Citarasa Dapur Kampus, Kolej Teknologi Yayasan Sabah, kampus Likas.

Katanya, pelancaran itu akan memberi manfaat kepada mahasiswa kolej menerusi pengenalan hidangan makanan berharga RM5 di kafeteria-kafeteria kolej tersebut.

Jelas beliau, KTYS juga merupakan Institut Pengajian Tinggi (IPT) pertama di Sabah yang menawarkan menu rahmah di kafeteria dan kantin mereka.

“Pihak KPDN sangat berterima kasih kepada pengusaha-pengusaha makanan yang telah melaksanakan program ini kerana menyahut usaha kerajaan dalam mengurangkan kos sara hidup dengan menyediakan makanan pada harga yang berpatutan kepada golongan sasar, khususnya golongan B40.

“Melalui program ini pelanggan boleh mendapatkan satu set hidangan lengkap yang merangkumi nasi, satu sumber protein, satu jenis sayur pada kadar yang tidak melebihi RM5 bagi satu hidangan.

“KPDN Sabah amat mengalu-alukan pengusaha makanan untuk menyertai Program Menu Rahmah ini dan mengambil peluang ini untuk menunaikan tanggungjawab sosial korporat di samping sama-sama membantu rakyat untuk mengurangkan kos sara hidup,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, KPDN Sabah akan terus komited dalam memperkasakan lagi pelaksanaan program ini kepada pengusaha makanan di seluruh negeri melalui bantuan promosi dan hebahan.

Tambah beliau, walaupun tiada bantuan dari segi kewangan atau subsidi daripada kerajaan kepada pengusaha kedai makan bagi program ini, namun KPDN sedia membantu dalam melakukan hebahan dan promosi bagi menggalakkan lagi pelanggan berkunjung ke premis yang menawarkan Menu Rahmah.

“Pihak KPDN juga akan sentiasa memantau restoran dan kedai makan yang terlibat dalam program ini bagi memastikan hidangan yang disediakan adalah memenuhi kriteria Menu Rahmah dari segi harga, kuantiti mahupun kualiti,” katanya lagi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|