Guru agama didakwa lakukan amang seksual

Guru agama didakwa lakukan amang seksual

Kota Kinabalu: Seorang guru di sebuah pusat pendidikan Islam, di sini, didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu, hari ini atas dua pertuduhan melakukan amang seksual terhadap seorang murid perempuan berusia 11 tahun.

Tertuduh Mohd Zakri Amirsah, 29, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Amir Shah Amir Hassan.

Tertuduh yang mula mengajar di sekolah agama itu pada akhir 2021 didakwa melakukan perbuatan itu terhadap murid perempuan darjah lima berkenaan sejak Mac 2022 hingga Januari 2023 ketika mengajar mangsa membaca Iqra dalam bilik guru Muslimin.

Mengikut pertuduhan, sebelum ini sesi mengaji diadakan setiap hari Sabtu dan Ahad pada waktu siang di surau pusat pendidikan berkenaan.

Namun pada sekitar Mac 2022, tertuduh menukar waktu mengaji kepada hari Isnin dan Selasa waktu malam di Bilik Guru Muslimin pusat pendidikan berkenaan.

Mangsa menghadiri kelas mengaji berkenaan bersama seorang adik lelakinya.

Berdasarkan keterangan mangsa, kejadian mula berlaku sekitar Mac 2022 yang mana tertuduh kerap melakukan amang seksual terhadap mangsa hampir setiap kali mangsa hadir kelas mengaji.

Perbuatan tertuduh didakwa dilihat berulang kali oleh adik lelaki mangsa.

Perbuatan tertuduh itu menyebabkan mangsa sakit di kemaluannya selain mengalami gangguan emosi dan mula mengelakkan diri daripada menghadiri kelas mengaji.

Selepas disoal kedua ibu bapa mangsa, mangsa memberitahu kerap mencabulnya ketika sesi mengaji.

Pada 14 Februari 2023, ibu bapa mangsa kemudian membuat laporan polis terhadap tertuduh sebelum tertuduh ditahan pada 15 Februari 2023 dan direman selama 10 hari bagi siasatan lanjut.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) dan 14 (d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Kedua-dua pertuduhan itu dibaca bersama Seksyen 16(c) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman tambahan penjara sehingga lima tahun dan rotan tidak kurang dua sebatan.

Tertuduh dibenarkan ikat jamin RM5,000 bagi setiap pertuduhan dengan dua orang penjamin.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Dacia Jane Romanus dan Najiha Farhana Che Amat, manakala tertuduh diwakili peguam Mohamad Syazwan Shah Mohamad Ali.

Mahkamah kemudian menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 24 Mac depan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|