Warga emas maut kereta terbabas langgar pokok

Warga emas maut kereta terbabas langgar pokok

Labuan: Seorang lelaki warga emas maut selepas kereta dipandunya hilang kawalan sebelum melanggar sebatang pokok di Jalan Tun Mustapha berhampiran Taman Chiong Soon, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 1.22 pagi itu, mangsa Chan Wah Shin, 61, yang mengalami parah di bahagian kepala maut di lokasi kejadian.

Polis trafik menjalankan siasatan di lokasi kemalangan.

Ketua Polis Labuan, Superintendan Ahmad Jawila berkata, siasatan awal polis mendapati kemalangan membabitkan sebuah kereta jenis Toyota Rush dipercayai terbabas sendiri.

Katanya, kemalangan berlaku apabila pemandu hilang kawalan lalu terbabas ke kanan jalan dan melanggar pokok yang berada di tengah jalan.

“Kereta dipandu mangsa kemudian tercampak ke jalan bertentangan.

“Akibat kejadian itu, mangsa parah di bahagian kepala dan disahkan maut di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ahmad berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Nukleus Labuan untui siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kemalangan itu supaya tampil menyalurkan maklumat untuk siasatan lanjut,” katanya.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Labuan turut berada di lokasi kejadian bagi membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|