Kerajaan negeri buka pejabat perhubungan di 3 Towers Ampang, Kuala Lumpur

Kerajaan negeri buka pejabat perhubungan di 3 Towers Ampang, Kuala Lumpur

Kuala Lumpur: Kerajaan negeri membuka Pejabat Perhubungan Negeri Sabah (PPNS) di Kuala Lumpur yang berfungsi seperti sebuah kedutaan bagi rakyat negeri ini yang bekerja atau tinggal di Semenanjung.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata pejabat itu yang terletak di 3 Towers, Jalan Ampang, Kuala Lumpur juga berfungsi sebagai perantara dalam aspek pentadbiran di antara kerajaan persekutuan dan negeri.

Hajiji menyempurnakan pelancaran PPNS Kuala Lumpur di 3 Towers, Jalan Ampang, Kuala Lumpur.

“PPNS Kuala Lumpur ini adalah sebuah agensi kerajaan negeri di bawah Jabatan Ketua Menteri Sabah yang turut berfungsi sebagai perantara kerajaan negeri Sabah berkaitan hal ehwal pentadbiran dengan kerajaan persekutuan.

“Landskap pentadbiran kerajaan negeri sudah berubah, oleh itu wujud keperluan interaksi di antara kerajaan seperti berkaitan isu migrasi, pelancongan, pelaburan dan hal ehwal diplomatik yang memerlukan kerajaan negeri mewujudkan pejabat ini,” katanya pada pelancaran pejabat baharu itu di sini, semalam.

Hajiji berkata, dengan adanya PPNS Kuala Lumpur, kerajaan negeri dapat melaksanakan polisi pentadbiran dengan lebih teratur dan sistematik.

Katanya, beliau mahu pejabat berkenaan melaksanakan polisi mesra pelabur dalam usaha menjayakan usaha kerajaan negeri menarik kemasukan pelaburan ke Sabah.

“Saya mahu PPNS Kuala Lumpur memastikan pendekatan mesra pelabur yang kita laksanakan berjaya.

“Dalam perkara ini, saya mahu pejabat ini menguatkan lagi peranannya sebagai penghubung di antara Sabah dan kerajaan persekutuan selain dengan kedutaan asing dan syarikat swasta di Semenanjung,” katanya.

Pada masa yang sama, katanya PPNS Kuala Lumpur juga perlu memaksimumkan kecekapan pengurusan tadbir urus yang menjadi faktor penting menarik pelabur datang ke Sabah.

Selain itu, katanya pejabat itu juga berfungsi sebagai pusat informasi berkaitan pelancongan, budaya dan pelaburan.

Hajiji berkata imej Kerajaan Negeri Sabah akan ditingkatkan lagi menerusi penubuhan Pejabat Rasmi Ketua Menteri di tingkat 23A, Penthouse 3 Towers yang dijangka siap pada akhir tahun ini.

Sementara itu, beliau berkata kerajaan negeri melalui PPNS Kuala Lumpur turut melaksanakan pelbagai inisiatif untuk membantu rakyat Sabah di Semenanjung ketika pandemik COVID-19.

Katanya, pejabat itu menerima hampir 200,000 permohonan daripada rakyat negeri ini di Semenanjung bagi mendapatkan Bantuan Prihatin Covid-19 2.0.

“Kita membelanjakan RM357,000 untuk mengagihkan bakul makanan kepada rakyat Sabah yang tinggal di Semenanjung dan RM239,362.46 lagi bagi membantu menghantar pulang ahli keluarga rakyat kita di Semenanjung yang meninggal dunia.

“Semua ini dilakukan bagi membantu rakyat dari Sabah yang memerlukan,” katanya.

Hajiji berkata, sebuah rumah transit untuk rakyat Sabah di Semenanjung juga akan disiapkan pada akhir tahun ini bagi membantu meringankan beban dari segi kos yang ditanggung rakyat Sabah dalam hal berkaitan pendidikan dan keperluan kesihatan anak mereka.

“Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, kita akan terus berjuang untuk rakyat Sabah tanpa mengira agama dan kaum,” katanya.

Ketika ini, PPNS Kuala Lumpur mempunyai seramai 34 kakitangan yang diketuai pengarahnya, Sabariah Saffree.

Hadir sama pada pelancaran pejabat berkenaan ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali); Timbalan Ketua Menteri, Datuk Ir Shahelmey Yahya; Speaker DUN Sabah, Datuk Kadzim M Yahya; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Mohd Arifin Arif; Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Safar Untong dan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Sabah, Datuk Datu Rosmadi Sulai.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|