Anak muda aset penting negeri

Anak muda aset penting negeri

Kota Kinabalu: Golongan anak muda menjadi modal insan yang amat bermakna sejajar kedudukan mereka sebagai pemimpin pelapis untuk membangunkan negeri pada masa hadapan.

Isteri Ketua Menteri, Datuk Juliah Salag, berkata atas sebab itu pendidikan bukan sahaja penting malah menjadi asas dalam pembentukan sebuah masyarakat yang bertamadun.

Juliah menyampaikan Anugerah Imam As-Shafie (Tokoh Murid) kepada Muhamad Azmel Wasili sempena Majlis Anugerah Cemerlang Sekolah Rendah Islam Al-Hafidz Tuaran (SRIAHT).

“Anak-anak muda kita perlulah bersedia untuk mencabar keupayaan sendiri dan berusaha di luar kemampuan supaya cita-cita yang diimpikan tercapai.

“Dalam dunia masa kini yang cukup mencabar, anak-anak perlulah berjiwa besar dan mempunyai lingkungan perspektif yang luas dan akal budi yang waras untuk membuat sebarang pertimbangan hala tuju kehidupan diri, bangsa dan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Anugerah Cemerlang Sekolah Rendah Islam Al-Hafidz Tuaran (SRIAHT) Sesi 2022/2023 di Dewan Teratai Institut Latihan Perindustrian Kota Kinabalu, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Juliah turut merakamkan tahniah kepada murid-murid di Sekolah Rendah Islam Al-Hafidz Tuaran (SRIAHT) yang berjaya mencapai kecemerlangan dalam bidang kurikulum dan kokurikulum, merangkumi pengajian agama, akademik, Al-Quran, akhlak dan tarbiyah modal insan.

“Semoga kejayaan ini akan menjadi inspirasi kepada murid lain untuk terus berusaha dengan lebih gigih. Sebenarnya tiada jalan pintas untuk mencapai kejayaan melainkan dengan berusaha keras.

“Kesungguhan dalam menuntut ilmu pengetahuan serta menguasai pelbagai kemahiran akan mendorong murid-murid untuk menjadi warga sekolah yang cemerlang, gemilang dan terbilang.

“Kejayaan yang diperoleh ini adalah hasil kerjasama mantap semua warga sekolah termasuk pentadbir, guru dan murid.

“Semoga hubungan erat ini terus diperkukuh dalam merealisasikan hasrat sekolah untuk membangunkan modal insan yang mempunyai jati diri yang kukuh, berkeperibadian mulia, berpengetahuan dan berkemahiran tinggi,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|