1,143 kes tangkapan Maritim Malaysia tahun lalu

1,143 kes tangkapan Maritim Malaysia tahun lalu

Sandakan: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) merekodkan sebanyak 1,143 kes tangkapan pelbagai kesalahan melalui operasi yang dilaksanakan sepanjang tahun lalu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, beliau berpuas hati dengan komitmen yang ditunjukkan Maritim Malaysia dalam menjalankan tugas menjaga keselamatan maritim negara.

Saifuddin menyempurnakan Lintas Hormat Aset Maritim Malaysia sempena ulang tahun ke-18 agensi itu di Sandakan.

Katanya, pada tahun lalu sahaja hampir RM4.8juta hasil rampasan diperolehi manakala lebih RM45 juta kompaun dikeluarkan kepada pesalah yang ditahan Maritim Malaysia.

“Daripada jumlah yang direkodkan itu, Maritim Malaysia telah membuktikan mereka memiliki kemahiran dan kepakaran setanding dengan agensi penguatkuasaan yang lain di negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Lintas Hormat Aset Laut, Udara dan Darat berkonsepkan `Fleet Review’ berhampiran pejabat Zon Maritim Sandakan sempena Sambutan Hari Ulang Tahun Ke-18 Maritim Malaysia.

Hadir sama Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah dan Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som.

Saifuddin turut mengakui melalui aset terkini yang ditunjukkan, beliau yakin agensi itu mampu mengawasi keselamatan perairan negara dan dapat menjayakan operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) di laut.

“Sebanyak 11 kapal, tiga pesawat udara dan empat buah bot pengiring keselamatan terlibat dalam acara lintas hormat.

“Ini merupakan sebahagian daripada aset Maritim Malaysia yang digunakan dalam penugasan dan operasi agensi ini,” katanya.

Mengulas mengenai Sambutan Hari Ulang Tahun Maritim Malaysia ke18, beliau berkata Maritim Malaysia masih mengekalkan tema sebelum ini iaitu ‘Kami Serius Melaksanakannya’.

“Tema ini dilihat mampu menyemarakkan semangat setia, dedikasi dan kesungguhan warga Maritim Malaysia dalam melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan kepada agensi ini.

“Sabah pula dipilih sebagai tuan rumah sambutan tahun ini kerana ada mesej yang besar kita nak sampaikan.

“Pertama kita nak bibitkan keyakinan di kalangan warga Sabah khususnya bahawa komitmen Maritim Malaysia untuk mengawasi perairan Sabah adalah satu komitmen yang serius dan berterusan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga mahu warga Sabah menumbuhkan keyakinan bahawa Maritim Malaysia meletakkan keutamaan dalam menjaga perairan Sabah.

Terdahulu, pada sambutan pada kali ini, Maritim Malaysia turut melaksanakan Eksesais Maritim Perkasa bil 2/2023 di perairan Sabah.

Eksesais itu adalah latihan dalam bentuk operasi memperkasa dan meningkatkan kompetensi keberadaan aset Maritim Malaysia di laut dan udara dalam strategi membanteras jenayah di perairan negara.

Selain Eksesais Maritim Perkasa, orang ramai yang hadir ke sambutan itu turut dapat menyaksikan demontrasi Pasukan Khas dan Penyelamat (PTK), pameran daripada agensi kerajaan dan berpeluang mendapatkan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|