Ikon Sigah Penampang ‘dipindahkan’ ke lokasi baharu

Ikon Sigah Penampang ‘dipindahkan’ ke lokasi baharu

Penampang: Selepas hampir 15 tahun menjadi ikon daerah Penampang yang paling dikenali, mercu tanda ‘Sigah’ akan dirobohkan sebelum dibina semula di lokasi yang baharu.

Difahamkan pemindahan itu dilakukan bagi memberi laluan kepada kerja-kerja penaiktarafan bulatan yang menjadi tapak monumen berkenaan di pekan Donggongon, ketika ini.

Mercu tanda ‘Sigah’ yang terletak di bulatan jalan raya di Donggongon.

Menurut bekas ahli Majlis Daerah Penampang, Chong Pit Fah, walaupun harus dipindahkan ke lokasi baharu, ia memberi kesan kepada ikon daerah berkenaan.

“Kalau sesiapa sahaja datang Penampang, memang inilah yang menjadi mercu tanda dan mereka akan tanya..Kau sudah nampak itu sigah?

Upacara Ritual Pemindahan Sigah Dari Tapak Lama Ke Tapak Baharu.

“Oleh itu, saya rasa ini merupakan satu kejayaan bagi jawatankuasa yang dipengerusikan oleh saya pada masa itu di mana kita telah berjaya melakukannya.

“Sehinggalah ke hari ini, ia menjadi ikon dan walaupun berlaku pemindahan, tapi Sigah tetap Sigah,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Upacara Ritual Pemindahan Sigah Dari Tapak Lama Ke Tapak Baharu, di Dongongon, di sini, hari ini.

Beliau berkata, mercu tanda Sigah dibina sebagai simbolik kepada Penampang yang majoriti penduduknya adalah masyarakat Kadazan.

“Kenapa kita wujudkan Sigah ini sebagai ikon di daerah ini, kerana dahulu Penampang merupakan sebuah daerah yang majoriti penduduknya berbangsa Kadazan.

“Selain itu, ia turut bertujuan untuk mengalakkan sektor pelancongan di daerah ini di mana kita gunakan mercu tanda itu sebagai ‘anchor’,” katanya.

Sementara itu, selaku jurutera yang terlibat dalam pembinaan Sigah berkenaan, Paulina Yong berkata, beliau mengambil masa kira-kira enam bulan bagi pembinaan dan penghasilan reka bentuk akhir.

“Saya membuat penyelidikan mengenai Sigah dan saya fikir reka bentuk yang saya hasilkan akan mempamerkan kemegahan bangsa KadazanDusun.

“Dengan penggunaan warna-warna yang bersesuaian, ia sudah pasti dapat menjadi sebuah mercu tanda yang menarik minat orang yang melihatnya,” katanya.

Mercu tanda Sigah di bulatan yang menjadi persimpangan Jalan Penampang Bypass, Jalan Penampang-Papar, Jalan Penampang-Kota Kinabalu dan Jalan Penampang-Tambunan itu dibina pada Ogos 2008.

Perobohan monumen berkenaan akan dilaksanakan dalam masa terdekat sebelum dibina semula di lokasi baharu, kira-kira 50 meter dari tapak asal.

Terdahulu, satu Upacara Ritual ‘Mongimpi atau Mamason’ dijalankan di tapak berkenaan oleh Pertubuhan Bobolian Sabah.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|