Ambang tahun baharu, tiga lelaki ditahan

Ambang tahun baharu, tiga lelaki ditahan

Penampang: Tiga termasuk seorang pemandu mabuk ditahan dalam Operasi Bersepadu Mencegah Jenayah (OBMJ) yang dijalankan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang, malam tadi.

Operasi yang diadakan sempena tahun baharu itu diadakan di beberapa lokasi termasuk dua sekatan di Jalan Penampang – Kota Kinabalu berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bahang dan Jalan Papar – Kota Kinabalu, Putatan.

Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, dalam operasi sekatan jalan itu, seorang lelaki ditahan selepas dipercayai memandu dibawah pengaruh alkohol.

Katanya, polis turut mengeluarkan sebanyak 37 keping saman atas pelbagai kesalahan trafik hasil pemeriksaan terhadap 70 kenderaan.

“Pemandu terbabit ditahan mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu dibawah pengaruh alkohol.

“Dalam operasi yang sama, polis turut sebuah premis hiburan yang dipercayai menjalankan operasi hiburan awam tanpa lesen,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Mohd Haris berkata, hasil serbuan itu, seorang lelaki ditahan mengikut Seksyen 3 Ordinan Hiburan Awam (PEO) 1958.

Katanya, pasukan serbuan turut merampas peralatan muzik milik premis berkenaan dan dibawa ke IPD Penampang untuk tindakan selanjutnya.

“Dalam serbuan itu, polis turut menahan seorang lelaki mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Sek 12(3) akta sama kerana dipercayai terlibat dengan penyalahgunaan dadah,” katanya.

Sementara itu, Mohd Haris berkata, operasi berkenaan diadakan bagi menunjukkan kehadiran polis di tempat awam.

Katanya, ia juga sebagai usaha mengekang berlakunya kejadian jenayah di Daerah Penampang dalam suasana kemeriahan sambutan Tahun Baru 2023.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|