Aktiviti Khidmat Masyarakat UCSF di Gayang, Tuaran

Aktiviti Khidmat Masyarakat UCSF di Gayang, Tuaran

Tuaran: Kolej Universiti Yayasan Sabah (UCSF) telah melancarkan aktiviti komuniti servis di Surau Nuli Pammin Gayang, baru-baru ini.

Aktiviti ini diketuai oleh Li An Jain Ng bersama 16 pelajar UCSF melibatkan bantuan menyiapkan badan induk Surau, memberikan sumbangan tunai dan juga kelengkapan solat wanita.

Surau Nuli Pammin Gayang merupakan sebuah surau yang sedang dibina dan dijadualkan akan siap dalam masa terdekat.

Menurut pensyarah Pusat Bahasa dan Pembangunan Generik UCSF, Puan Sharmimiee Mohd Hussain, aktiviti itu merupakan yang ke-7 diadakan dalam tahun ini.

“Saya amat berharap agar lebih ramai pelajar terdedah dengan aktiviti khidmat masyarakat yang akan memberikan mereka pengalaman yang berbeza dan impak yang sangat tinggi terhadap kemahiran insaniah mereka”,katanya.

Sementara itu, Pengerusi Surau Nuli Pammin, Datuk Mohd Pintaz berkata program khidmat masyarakat yang dilancarkan oleh UCSF sangat baik dan mengucapkan terima kasih atas usaha murni pelajar yang memberikan bantuan yang bermakna dan dapat dimanfaatkan sebaik mungkin.

Naib Canselor UCSF, Dr Rafiq Idris berharap program khidmat masyarakat di Surau Nuli Pammin Gayang dapat memberikan manfaat kepada masyarakat setempat dan juga para pelajar yang terlibat.

Beliau turut merakamkan ucapan jutaan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam menjayakan program tersebut.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|