Sandakan: Pasukan Polis Marin (PPM) merampas 1,500 biji telur penyu disyaki cuba diseludup masuk ke daerah ini dari Filipina menerusi Op Khazanah, semalam.
Rampasan itu hasil serbuan ke atas sebuah pondok di kawasan setinggan Mangkalinau Batu 3, jam 5.17 petang.

Serbuan itu hasil maklumat awam dan Unit Risikan Marin (PPM) Sandakan.
Hasil pemeriksaan ke atas pondok berkenaan mendapati tiada penghuni dan terdapat tiga guni berisi telur penyu yang semuanya berjumlah 1,500 biji.
Telur penyu itu dipercayai dibawa dari Filipina untuk pasaran di daerah ini. Nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM3,000.
Semua telur penyu berkenaan dirampas dan diserahkan kepada Jabatan Hidupan Liar Sandakan untuk tindakan lanjut.
Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Ariffin ketika dihubungi mengesahkan mengenai rampasan berkenaan.
-Deasoka