Shahelmey kekal pendirian sokong Hajiji

Shahelmey kekal pendirian sokong Hajiji

Kota Kinabalu: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat, Datuk Ir Shahelmey Yahya, berkata pendiriannya kekal untuk terus menyokong kepemimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, turut mengulangi kenyataannya sebelum ini bahawa tiada alasan untuk mengubah kerajaan negeri sedia ada.

“Sokongan saya kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor tidak berubah sebab tiada alasan untuk kita mengubah kerajaan negeri yang ada sekarang.

“Saya juga tidak mengubah pendirian terhadap parti dan saya masih ahli UMNO. Kalau ada tindakan terhadap saya, saya serahkan kepada parti,” katanya.

Beliau ditemui pada perjumpaan semua ADUN yang menyokong Hajiji di Sri Gaya, di sini, petang tadi.

Shehelmey adalah antara lima ADUN UMNO yang tidak bersetuju dengan tindakan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang membawa Barisan Nasional (BN) dan UMNO Sabah keluar dari kerajaan negeri.

Empat lagi ADUN UMNO yang menyokong Hajiji ialah Datuk Dr Yusof Yacob (Sindumin), Datuk Jasnih Daya (Pantai Dalit), Datuk Mohd Arsad Bistari (Tempasuk) dan Datuk James Ratib (Sugut).

Shahelmey yang juga Ahli Parlimen Putatan berkata mereka berlima sudah menghantar akuan bersumpah (SD) sebagai sokongan kepada Hajiji.

Mengenai kedudukannya sebagai Ahli Parlimen, beliau berkata perkara itu juga diserahkan kepada parti untuk mengambil sebarang tindakan terhadapnya.

Jelasnya, Bung Moktar tahu pendiriannya dan ia tidak akan berubah.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|