YS, UiTM lanjutkan MoU kerjasama penyelidikan

YS, UiTM lanjutkan MoU kerjasama penyelidikan

Kota Kinabalu: Kumpulan Yayasan Sabah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) lanjutan dengan Universiti Teknologi MARA (UiTM) dalam mempromosikan aktiviti penyelidikan, pembangunan, biodiversiti dan latihan di kawasan konservasi seliaan Kumpulan Yayasan Sabah, di sini, baru-baru ini.

Pada majlis yang berlangsung di Menara Tun Mustapha pada 21 September lalu itu, Kumpulan Yayasan Sabah diwakili Pengarahnya yang juga Pengerusi Eksekutif Innoprise Corporation Sdn Bhd (ICSB), Datuk Gulamhaidar @ Yusof Khan Bahadar, manakala UiTM diwakili Rektornya, Prof Madya Datuk Dr Abdul Kadir Rosline.

Menyaksikan majlis itu ialah Setiausaha Korporat Yayasan Sabah, Hanafiah Diman dan Timbalan Rektor Bahagian Penyelidikan, Jaringan Industri, Masyarakat dan Alumni UiTM, Dr Sharifah Nurafizah Syed Annuar.

Sebelum ini, Kumpulan Yayasan Sabah dan UiTM menjalin kerjasama menerusi MoU mempromosikan aktiviti penyelidikan, pembangunan, biodiversiti dan latihan yang ditandatangani pada 29 Januari 2011 bagi tempoh lima tahun, berakhir pada 2015.

Gulamhaidar berkata, MoU tambahan terbaharu di antara Kumpulan Yayasan Sabah dan UiTM itu tertumpu kepada pengembangan bidang penyelidikan dan latihan dengan penambahbaikan program Pendidikan Alam Sekitar dan Pembangunan Lestari di kawasan konservasi seliaan Kumpulan Yayasan Sabah.

“Oleh itu, Kumpulan Yayasan Sabah dan UiTM akan bekerjasama dalam membangun dan mengadakan program pembangunan demi meningkatkan kemahiran pembangunan staf Kumpulan Yayasan Sabah menerusi pengurusan pelawat dan hospitaliti serta penyediaan penempatan latihan industri untuk pelajar UiTM.

“Antara aktiviti yang dirancangkan di bawah kerjasama ini ialah ekspedisi saintifik meliputi koridor pendidikan alam sekitar di Kawasan Konservasi Pantai Silam, Kawasan Konservasi Sungai Taliwas, Kawasan Konservasi Lembah Danum dan Projek Rehabilitasi Hutan Hujan Innoprise-FACE (INFAPRO).

“Aktiviti ini akan menyumbang kepada penawaran dan permintaan kajian pendidikan alam sekitar dan eko-pelancongan di kawasan konservasi seliaan Kumpulan Yayasan Sabah,” katanya.

Beliau berkata, usaha itu sudahpun dilaksanakan berikutan penyertaan UiTM dalam Eksplorasi Saintifik Kawasan Konservasi Sungai Taliwas yang diadakan pada 7 hingga 17 Jun 2022.

Menerusi eksplorasi itu katanya, UiTM telah menjalankan kajian pendidikan alam sekitar dan potensi eko-pelancongan di Kawasan Konservasi Sungai Taliwas.

Jelasnya, inisiatif itu akan menyediakan peluang pembelajaran yang baik kepada pelajar dan fakulti UiTM bagi meningkatkan pengalaman pembelajaran, pembangunan profesional dan kurikulum.

Pada majlis yang sama, upacara simbolik pelepasan Ekspedisi Saintifik UiTM Kanyon Imbak turut diadakan.

Ekspedisi saintifik sebenar yang menumpukan sains alam sekitar dan ekologi, pendidikan dan komuniti serta flora dan fauna Kawasan Konservasi Kanyon Imbak akan berlangsung pada 2 hingga 8 Oktober depan.

Menerusi ekspedisi itu, peserta akan mengumpul data, dokumentasi dan menjalankan kajian saintifik mengenai kepelbagaian flora, fauna dan ekosistem Kawasan Konservasi Kanyon Imbak.

Selain itu, pelaksanaan aktiviti Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) turut dilaksanakan bagi menyokong usaha meningkatkan kesedaran orang ramai melalui pendidikan dan latihan.

Ia termasuk kempen menyokong perlindungan dan pemuliharaan selaras dengan visi Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2030 dalam mewujudkan masyarakat berasaskan pengetahuan untuk memupuk ekonomi yang mampan.

Penemuan melalui ekspedisi itu nanti akan menyumbang ke arah pembangunan pelan lestari bagi pengurusan hutan dalam mengatasi cabaran berkaitan, khususnya dalam memelihara, memulihara dan mengurus flora dan fauna Sabah.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|