Yayasan Sabah teruskan usaha bantu pelajar

Yayasan Sabah teruskan usaha bantu pelajar

Kota Kinabalu: Kumpulan Yayasan Sabah (KYS) akan terus membantu pelajar mencapai kecemerlangan dalam pendidikan, kata Pengarahnya Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar.

Beliau yang juga Pengerusi Eksekutif Innoprise Corporation Sdn Bhd berkata, usaha membantu pelajar cemerlang dilakukan menerusi Anugerah Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah (ABCNS).

Katanya, anugerah berprestij yang diberikan oleh kerajaan negeri itu adalah melalui KYS untuk pelajar cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“ABCNS ke-33 akan berlangsung esok bertempat di Auditorium Tun Ahmad Raffae, Menara Tun Mustapha dan pelajar akan menerima anugerah daripada Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

“ABCNS meraikan pencapaian pelajar hasil kerja keras mereka selama ini. Ia juga merupakan pengiktirafan tertinggi kerajaan Sabah melalui KYS bagi pelajar sekolah menengah di negeri ini serta menjadi motivasi untuk mencapai kejayaan akademik yang lebih tinggi,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya lagi, pelajar terbabit akan mengikuti pelbagai kursus dan bidang pengajian terpilih bagi keperluan negeri dan prospek kerjaya peribadi.

“Kami yakin penerima ABCNS akan meraih faedah hasil daripada program ini sambil memberi sumbangan kepada negeri Sabah pada masa akan datang,” katanya.

Pada tahun ini, seramai 40 pelajar lagi akan menerima anugerah itu.

Sejak penubuhannya 56 tahun yang lalu, Yayasan Sabah telah melaksanakan tanggungjawabnya dalam meningkatkan kualiti kehidupan rakyat Malaysia di Sabah terutamanya melalui pembangunan pendidikan.

Ghulam berkata, sejak itu KYS secara aktif menokok tambah usaha kerajaan negeri dan Persekutuan dalam membangunkan Sabah, terutama daripada aspek pendidikan.

“Komitmen KYS ke arah kecemerlangan pendidikan, dalam bentuk dermasiswa, biasiswa dan pinjaman pelajaran kepada pelajar Sabah adalah sinonim dengan kewujudan KYS itu sendiri khususnya dalam program sosial,” katanya.

Tambahnya lagi, KYS menyedari pentingnya pendidikan berkualiti tinggi dalam mendorong pertumbuhan negeri ini dan memuji Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya inisiatif Kerajaan Negeri Sabah dalam meningkatkan hasil pendidikan dalam membina tenaga kerja yang kompetitif dan berpendapatan tinggi.

“Kami percaya bahawa kejayaan masa depan seseorang bermula dengan pelaburan yang dilakukan dalam pendidikan hari ini,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|