United 1Borneo tiada kuasa kutip caj perkhidmatan di 1 Borneo Hypermall

United 1Borneo tiada kuasa kutip caj perkhidmatan di 1 Borneo Hypermall

Kota Kinabalu: Mahkamah Tinggi, di sini, menolak dengan kos tuntutan dibuat United 1Borneo Hypermall Sdn Bhd bagi mendapatkan semula caj perkhidmatan tertunggak daripada seorang pemilik yang memiliki tujuh lot premis di 1Borneo Hypermall, di sini.

Hakim Leonard David Shim, dalam penghakimannya pada 14 Julai lalu membuat keputusan itu selepas mendapati United 1Borneo Hypermall Sdn Bhd tidak mempunyai local standi untuk melakukannya.

Syarikat itu yang tidak dilesen dan didaftar di bawah Board of Valuers Appraisers Estate Agents and Property Managers (established by the Valuers, Appraisers and Estate Agents Act 1981) memulakan tindakan undang-undang untuk mendapatkan semula yuran dan caj perkhidmatan berjumlah RM3,591,776.38.

Sebelum dan ketika tindakan undang-undang diambil, United 1Borneo Hypermall Sdn Bhd secara salah (unlawful) meminta dan mengancam seorang daripada penyewa utama untuk membayar caj perkhidmatan kepada mereka.

Tindakan itu menyebabkan penyewa terbabit membuat keputusan menamatkan sewa dan keluar daripada pusat beli belah berkenaan.

Dalam penghakimannya, Shim berkata berdasarkan bahan bukti dan tindakan yang difailkan oleh pihak yang terbabit, mahkamah mendapati plaintif gagal membuktikan imbangan kebarangkalaian yang ia mempunyai locus standi untuk memulakan dan mengekalkan tindakan mengenakan caj perkhidmatan terhadap defendan.

Beliau seterusnya menjelaskan bahawa pihak defendan juga berjaya membuktikan bahawa caj perkhidmatan yang tertunggak sepatutnya dibayar kepada likuidator bagi pihak Sagajuta (Sabah) Sdn Bhd (in Liquidation).

Berdasarkan alasan itu, mahkamah membuat keputusan menolak tuntutan plaintif dengan kos berjumlah RM20,000 yang dibayar oleh plaintif kepada defendan tertakluk kepada bayaran yuran alokasi.

Shim berkata, pertikaian utama dalam kes itu ialah mengenai locus standi plaintif untuk menuntut caj perkhidmatan dan sama ada tuntutan oleh pengurus hartanah tidak berlesen (plaintif) bercanggah dengan undang-undang.

Katanya, walaupun mahkamah mempunyai bidang kuasa untuk mengarahkan individu lain bagi mengendalikan litigasi atas nama syarikat yang digulung, mahkamah tidak mengarahkan plaintif untuk membawa tindakan itu kerana tiada kebenaran diperolehi daripada likuidator.

Tindakan itu juga katanya tidak dibawa atas nama atau bagi pihak syarikat yang digulungkan, Sagajuta (Sabah) Sdn Bhd.

Shim berkata, tiada pertikaian berlaku bahawa perbadanan pengurusan pusat beli belah terbabit belum diwujudkan di bawah Seksyen 14 Enakmen Tanah Sabah 1974 (Subsidiari Title).

Sebelum pembentukan perbadanan pengurusan, katanya hak untuk mengutip caj perkhidmatan di Sabah adalah hak kontraktual yang diberikan mengikut Perjanjian Jualan dan Belian.

Jelasnya, tidak seperti pemaju di Semenanjung yang mana Akta Pengurusan Strata 2013 memberi hak statutori kepada badan pengurusan bersama untuk mengutip caj perkhidmatan dan penyelenggaraan sebelum pembentukan perbadanan pengurusan, enakmen di Sabah tidak membenarkan pemaju hak statutori seperti itu.

Shim berkata, tiada bahan bukti yang ditunjukkan bahawa pihak plaintif adalah pemilik berdaftar atau penerima manfaat sebarang estet atau amanah daripada orang yang sudah meninggal dunia atau pemajak berdaftar bagi tanah dan bangunan, contohnya pusat beli belah yang dimaksudkan dalam kes itu.

Sehubungan itu, katanya pihak plaintif tidak dikecualikan daripada pendaftaran sebagai pengurus hartanah.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|