Polis Semporna rampas 1,125 liter petrol

Polis Semporna rampas 1,125 liter petrol

Semporna: Polis berjaya merampas sebanyak 1,125 liter petrol dipercayai cuba diseludup ke negara jiran dalam serbuan di sebuah rumah atas air di Kampung Batu, di sini, semalam.

Rampasan dilakukan sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna bersama Pasukan Polis Marin (PPM), pada kira-kira jam 9.30 malam.

Gelen berisi petrol bersama enjin sangkut dirampas dalam operasi membanteras penyeludupan di Semporna.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Mohd Farhan Lee Abdullah berkata sebelum itu, pihaknya menerima maklumat awam berhubung aktiviti penyeludupan di kawasan itu.

Berikutan itu, katanya sepasukan polis digerakkan ke lokasi bagi menjalankan intipan dan pemeriksaan ke atas sebuah bot kayu yang dalam keadaan mencurigakan di bawah rumah atas air terbabit.

“Hasil pemeriksaan menemukan sebanyak 30 gelen berisi penuh minyak petrol di dalam bot terbabit.

“Pemeriksaan lanjut turut menemukan 15 gelen lagi minyak petrol yang diikat pada tiang rumah dalam keadaan terapung,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.

Katanya, semua minyak petrol itu dipercayai diletakkan di kawasan rumah berkenaan sebelum cuba diseludup ke negara jiran.

Beliau berkata, ketika pemeriksaan menyeluruh di kawasan itu, pihaknya mendapati beberapa buah bot bertindak memecut laju dipercayai cuba melarikan diri setelah menyedari kehadiran polis.

“Pasukan serbuan turut merampas dua buah bot jenis kayu bersama sebuah enjin dipercayai milik penyeludup terbabit.

“Semua barang rampasan yang dianggarkan bernilai RM15,276 itu diserahkan kepada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk tindakan lanjut,” katanya.

Farhan menasihatkan orang ramai agar melaporkan sebarang aktiviti penyeludupan kepada pihak polis atau KPDNHEP sekiranya mempunyai maklumat.

“IPD Semporna mengucapkan terima kasih atas maklumat yang disalurkan oleh orang awam sehingga berjaya menggagalkan aktiviti penyeludupan minyak petrol terbabit,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|