OBK: RM10.6 juta rampasan membabitkan 53 kes dalam tempoh sebulan

OBK: RM10.6 juta rampasan membabitkan 53 kes dalam tempoh sebulan

Kundasang: Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) Sabah, berjaya mengesan 53 kes membabitkan nilai rampasan keseluruhan RM10.61 juta sepanjang sebulan beroperasi di seluruh negeri ini.

Operasi yang berakhir 16 Julai lalu itu turut menyaksikan seramai 108 individu membabitkan 60 rakyat tempatan, 35 warga Filipina dan 13 warga Indonesia atas pelbagai kesalahan.

Hazani ketika sidang media selepas merasmikan Penutupan Op Bersepadu Khazanah Sabah Bil 2/2022 di Kinabalu Park, Kundasang.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Hazani Ghazali berkata, antara kesalahan yang paling dikesan adalah jenayah mengikut Enakmen Taman 1948 yang membabitkan 43 tangkapan.

Katanya, ia diikuti dengan Akta Peraturan-Peraturan Pelabuhan dan Dermaga (Kapal Kecil Berlesen) 2008 yang mencatatkan 18 tangkapan.

Hazani bersama barisan tertinggi OBK Sabah selepas majlis perasmian Penutupan Op Bersepadu Khazanah Sabah di Kinabalu Park, Kundasang.

“Kesalahan lain yang dikesan adalah membabitkan kesalahan mengikut Akta Perikanan, Akta Senjatapi, Akta Polis dan Akta Jabatan Laut.

“OBK turut mencatatkan kesalahan mengikut Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar 1997 dengan 10 tangkapan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Perasmian Penutupan Op Bersepadu Khazanah Sabah Bil 2/2022 di Dewan Kinabalu Park, di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Pengarah Taman-Taman Sabah (TTS), Ludi Apin; Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun;
Pengarah Maritim Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Datuk Mohd Rosli Abdullah.

Hazani berkata, berdasarkan semua berkenaan, OBK turut mengeluarkan keseluruhan kompaun sebanyak RM76,000.

Katanya, pasukan operasi yang membabitkan Pasukan Gerakan Am (PGA), Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah, Jabatan Perhutanan Sabah, Taman Taman Sabah dan Tahung Hidupan Liar (WWF) itu turut berjaya merampas sembilan senjata dan 126 peluru pelbagai jenis.

Sehubungan itu, Hazani berkata, peranan OBK ini akan diteruskan dari semasa ke semasa membabitkan 13 kawasan sasaran di daratan dan perairan negeri ini.

Katanya, nilai rampasan membabitkan lebih RM10.6 juta itu adalah satu kehilangan besar kepada negara.

“Bertepatan dengan keadaan itu, OBK yang merupakan sebahagian program perlindungan dan rondaan Biodiversiti amatlah tepat bagi melindungi khazanah negara,” katanya.

Sementara itu, berdasarkan kepada cadangan untuk mewujudkan OBK diperingkat daerah, Hazani berkata, perkara itu akan diambil perhatian.

Bagaimanapun katanya, ia akan dipantau sepenuhnya oleh Batalion dan Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Sabah.

“Pesuruhjaya Polis Sabah akan menjadi komander keseluruhan operasi OBK untuk Negeri Sabah,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|