Yayasan Sabah bincang kerjasama tangani rasuah bersama SPRM

Yayasan Sabah bincang kerjasama tangani rasuah bersama SPRM

Kota Kinabalu: Kumpulan Yayasan Sabah baru-baru ini mengadakan kunjungan hormat ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah untuk berbincang mengenai kerjasama menangani rasuah.

Kunjungan hormat itu diketuai Pengurus Kumpulan, Bahagian Pungutan Pinjaman Pengajian Yayasan Sabah, Mohd Sharuddin Mohd Wali.

Delegasi Kumpulan Yayasan Sabah disambut oleh Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy di ibu pejabat SPRM Sabah di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, di sini.

Kunjungan hormat itu antara lain bertujuan mengeratkan lagi kerjasama di antara Kumpulan Yayasan Sabah dan SPRM dalam menangani rasuah hingga ke peringkat akar umbi.

Selain itu, lawatan berkenaan turut membincangkan aktiviti berkaitan dengan integriti yang akan dilaksanakan secara kerjasama antara kedua-dua organisasi itu.

Lawatan berkenaan mendapat pelbagai input untuk pemantapan tadbir urus dan integriti dalam Kumpulan Yayasan Sabah.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|