Isteri maut suami selamat diserang gajah liar

Isteri maut suami selamat diserang gajah liar

Tawau: Perjalanan suami isteri melawat cucunya bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka maut dipercayai diserang seekor gajah liar yang mengamuk berhampiran kawasan Dumpas, Jalan Merotai – Kalabakan, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 pagi itu, mangsa Samsiah Arshad, 50, parah dipercayai akibat dipijak gajah liar berkenaan.

Keadaan motosikal yang dinaiki pasangan berkenaan.

Difahamkan, mangsa bersama suaminya Tahir Salleh, dalam perjalanan dari Kampung Hidayat, Batu 4, Jalan Apas menuju ke Kongsi 4, Ladang Kelapa Sawit Cenderamata, untuk melawat cucu mereka dengan menaiki motosikal.

Sebaik tiba di lokasi kejadian, tiba-tiba pasangan terbabit diserang gajah liar berkenaan namun suami mangsa berjaya menyelamatkan diri.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkenaan dan siasatan lanjut masih dijalankan.

Sementara itu, Pegawai Jabatan Hidupan Liar (JHL) Tawau, Primus Lambut berkata, pihaknya menerima maklumat berkaitan kes amukan gajah liar di kawasan Dumpas.

Katanya, gajah berkenaan bukan gajah betina bunting yang sebelum ini dilaporkan sesat memasuki kawasan pekan Merotai.

“Ini gajah lain dan gajah betina sebelum ini sudah dihalau ke habitatnya.

“Gajah yang menyerang mangsa tidak memakai kolar,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|