Isu harga getah sekerap perlu diambil serius – Masiung

Isu harga getah sekerap perlu diambil serius – Masiung

Tongod: Jangan pandang sebelah mata isu harga getah sekerap yang begitu rendah dengan harga lantai RM2.50 bagi satu kilogram, selain tidak pernah disemak sejak tujuh tahun lalu selepas ditetapkan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut berkata, kejatuhan nilai komoditi itu merupakan penyusutan paling rendah dalam sejarah negara sejak tempoh 20 tahun lalu.

“Ia dilihat sebagai diskriminasi kepada pekebun kecil getah sedangkan harga bahan kimia melibatkan komoditi itu seperti racun rumpai, baja dan cuka getah telah melambung naik hampir 100 peratus.

“Lebih parah lagi pendapatan kecil penoreh getah turut diselubungi dengan kos sara hidup semakin tinggi pada masa ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) Sabah itu menggesa supaya kerajaan negeri dan Persekutuan menaikan harga lantai baharu komoditi itu.

Beliau turut meminta supaya Bantuan Musim Tangkujuh (BMT) dilanjutkan dalam penyediaan Bajet 2023 yang akan dibentangkan pada Oktober depan.

Menurutnya, kerajaan perlu mengambil berat terhadap penyusutan harga komoditi itu kerana getah merupakan penyumbang ekspot keenam terbesar negara.

Beliau juga memberi amaran jika kedua-dua kerajaan tidak melihat isu itu dalam penyediaan Bajet 2023 sudah pasti warga pekebun getah rasa terabai.

“Ini sekali gus mempengaruhi politik menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang menjelang tiba.

“Ekoran kejatuhan harga getah sekerap, kini ramai pekebun kecil getah telah beralih kepada komoditi lain dan jika isu ini berterusan pengeluaran eksport getah negara akan terus merudum sebagai pengeluar utama getah asli dunia.

“Bagi mengelakkan lebih ramai pekebun getah beralih ke bidang lain, kerajaan perlu melakukan formula baharu untuk menaikkan harga lantai komoditi itu,” tambahnya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|