ATB 2 bakal terima 20 bot tempur baharu

ATB 2 bakal terima 20 bot tempur baharu

Semporna: Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB 2) bakal menerima 20 aset bot tempur baharu untuk mengawal keselamatan di perairan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE), pada tahun hadapan.

Panglima Angkatan Bersama, Leftenan Jeneral Datuk Yazid Arshad TUDM berkata, pihaknya berusaha menggantikan aset-aset bagi tujuan operasi ATB 2 dilakukan secara berterusan.

Yazid menyampaikan sumbangan kepada penduduk di kawasan pulau berkenaan.

Katanya, Kementerian Pertahanan turut mempunyai perancangan untuk melaksana program Government Operate, Company Own And Maintain (GOCOM) terhadap beberapa aset yang ketika ini tidak ada dalam perkhidmatan.

“Kita faham perkhidmatan mempunyai komitmen terhadap operasi mereka, jadi yang mana tidak dapat dibekalkan oleh perkhidmatan akan dibuat konsep GOCOM.

Yazid bergambar bersama penduduk di kawasan pulau berkenaan.

“Sebagai contoh untuk kenderaan pacuan empat roda, kenderaan pengangkutan, dron dan seumpamanya,” katanya ketika ditemui pada Program Civil-Military Cooperation (CIMIC) di Pulau Danawan, di sini, semalam.

Menurutnya, ATB 2 sudah mengambil alih sepenuhnya kawasan tanggungjawab Operasi Persisir Pantai dan Operasi Benteng yang disatukan di bawah Op PASIR pada 1 Januari 2022 yang lalu.

“Op PASIR sudah dilaksanakan sejak 7 April 2007 di sepanjang Pantai Timur Sabah bagi mengekang kegiatan jenayah Rentas Sempadan seperti penyeludupan dan kemasukkan pendatang asing tanpa izin (PATI),” katanya.

Mengulas mengenai program CIMIC, beliau berkata, ia dapat mewujudkan kerjasama efektif antara komuniti setempat dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Malah dapat meningkatkan kesedaran mengenai peranan rakyat bersama membantu memperkasakan pertahanan dan keselamatan negara terutamanya di kawasan ESSZONE.

“Selain itu, program ini juga bermatlamat untuk mewujudkan kesedaran masyarakat terhadap fungsi dan peranan ATM,” katanya.

Yazid berharap program seumpama ini dapat memberi manfaat kepada penduduk Pulau Denawan, selain mengeratkan lagi kerjasama ATM, masyarakat awam, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan agensi kerajaan.

“Ia juga dapat meningkatkan kesedaran terhadap pentingnya peranan semua pihak dalam memastikan keamanan dan keselamatan negara sentiasa terpelihara,” katanya.

Pada program itu sebanyak RM62,000 nilai sumbangan dalam pelbagai bentuk telah diagihkan kepada penduduk di pulau berkenaan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|