Tawau: Seorang lelaki yang disyaki baru menjalankan aktiviti mencuri motosikal, hanya sempat melaram motosikal yang dicurinya tidak sampai 24 jam sebelum ditahan polis, semalam.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, siasatan mendapati motosikal itu dilaporkan hilang disyaki dicuri di kawasan Ladang Dumpas, di sini.

Katanya, bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Balai Polis Bombalai diketuai Sarjan Mejar Azwan Petrus menjalankan serbuan di kawasan perumahan Bandar Sri Indah.
“Ketika serbuan, polis berjaya menahan suspek yang kelihatan berlegar-legar menunggang sebuah motosikal.

“Pemeriksaan lanjut terhadap motosikal yang ditunggang suspek didapati ia adalah motosikal yang dilaporkan hilang disyaki dicuri,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, suspek warga asing berusia lingkungan 17 tahun bersama barang rampasan dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan lanjut.
“Suspek didapati masuk dan tinggal di negara ini tanpa sebarang dokumen perjalanan diri yang sah.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan Sesyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.
-Deasoka