SUKMA XX: Evan sumbang emas tunggal skuad memanah Sabah

SUKMA XX: Evan sumbang emas tunggal skuad memanah Sabah

Kuala Lumpur: Panahan emas Evan Rich Chong Qi Wei hari ini menyelamatkan Sabah daripada pulang tanpa pingat emas dalam sukan memanah SUKMA XX.

Evan merangkul pingat emas acara Recurve Olimpik individu lelaki dengan menewaskan Naveer Fikri Zinuldin dari Pulau Pinang 85-80 (28-25, 29-28, 28-27) pada perlawanan akhir yang juga acara terakhir sukan memanah yang berlangsung di Stadium Universiti Sans Islam Malaysia.

Rangkaian perenang 4x200m wanita Sabah yang menang pingat gangsa.

Sebelum itu, pasukan memanah wanita yang dianggotai Kaitlyn Hannah Sernam, Nurul Maisarah Mohd Daud dan Faith Fedora Shiu Xiaou Min menang pingat gangsa acara Recurve Olimpik berpasukan wanita. Mereka menewaskan pasukan Kelantan 49-41, 37-37, 46-43.

Keseluruhannya, skuad memanah Sabah meraih satu emas dan dua gangsa. Satu lagi gangsa dimenangi Adriel Gabriel Liew dalam acara Compound Olimpik individu lelaki kelmarin.

Pemain ragbi wanita Sabah (biru) dihalang pemain-pemain Kedah pada perlawanan separuh akhir di Kompleks UiTM Shah Alam. Sabah tewas 5-12 perlawanan itu.

Pengurus pasukan, Charley Chia berkata, mereka mensasarkan tiga pingat emas tetapi beberapa format baru yang digunapakai pada pertandingan kali ini menyukarkan pemanah-pemanah muda Sabah.

“Format yang digunakan agak baru di mana pemanah muda kita masih perlukan masa untuk menguasainya.

“Evan buat baik dan begitu juga dengan pemanah wanita tetapi mereka kurang bernasib baik kerana bertemu dengan lawan yang lebih kuat pada pusingan-pusingan awal.

“Bagaimanapun, dengan lebih banyak latihan serta pendedahan termasuk mengaplikasikan sains sukan dan mendapatkan atlet elit untuk membimbing dan melatih pemanah muda kita ini, saya yakin mereka akan terus maju.

“Harap-harap skuad memanah Sabah dapat menghasilkan keputusan yang diinginkan pada SUKMA 2024 di Johor nanti,” kata Charley ketika dihubungi.

Sebagai rekod, sukan mmanah adalah antara lubuk pingat emas Sabah pada SUKMA 2018 Perak dengan pencapaian empat emas dan dua perak. Kesemua pingat emas itu disumbangkan Eugenius Lo yang turut dinobatkan sebagai Olahragawan edisi itu.

Sambil itu, Sabah turut meraih pingat perak menerusi Matronati Motusin dalam sukan judo kategori 70kg wanita.

Rangkaian perenang Sabah, Chu Xin Ying, Lovell Wong, Thien Oi Yee dan Loo Yie Bing pula menang gangsa acara 4x200m gaya bebas wanita.

Turut menang pingat gangsa ialah atlet bebasikal Lim Chun Kiat, pasukan bola tampat wanita dan peninju Mohammad Fairul Yee Adullah (featherweight 54-57kg).

Sementara itu, pasukan ragbi wanita Sabah gagal pertahankan pingat emas apabila tewas 5-12 ditangan Kedah di separuh akhir. Mereka kemudiannya menumbangkan Johor 15-0 untuk menamatkn cabaran dengan pingat gangsa.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|