RM20 juta bina bangunan baharu ITQAS

RM20 juta bina bangunan baharu ITQAS

Kota Kinabalu: Kerajaan negeri memperuntukkan dana sebanyak RM20 juta untuk membangunkan Institut Tahfiz al-Quran Negeri Sabah (ITQAS).

Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif berkata, ia bertujuan menyediakan ruangan yang selesa bagi memudahkan sesi pembelajaran.

Menurutnya, inisiatif ini diharap akan dapat memberi manfaat semaksimum yang mungkin kepada warga ITQAS khususnya dan seluruh Sabah amnya.

“Bangunan institut tahfiz yang baharu ini akan memudahkan anak-anak kita dan lebih selesa semasa sesi pembelajaran.

“Kita yakin dengan adanya bangunan yang ini, kita boleh bantu lebih ramai anak-anak kita,” katanya selepas Majlis Istiadat Konvokesyen ITQAS Ke-5, di Hotel Pasific Sutera, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Arifin berkata, beliau berharap agar ilmu pengetahuan yang dipelajari di ITQAS akan dapat diaplikasikan ke dalam kehidupan bermasyarakat.

“InsyaAllah kita dapat melahirkan ramai anak-anak Sabah hufaz yang juga produk daripada ITQAS atau madrasah tahfiz.

“Melahirkan ramai anak Sabah yang boleh menghafal Al-Quran dan boleh menjadi pengetua, imam , pegawai kerajaan, pemimpin malah ada yang membuat madrasah tahfiz sendiri di kawasan masing-masing.

“Ini yang kita mahu agar ilmu yang dipelajari di institut ini dapat diterjemahkan kepada masyarakat di kawasan masing-masing,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|