SUKMA XX: Nevern gandakan kutipan emas

SUKMA XX: Nevern gandakan kutipan emas

Kuala Lumpur: Nevern Netaneel Marcellinus muncul juara acara master tanpin boling hari ini untuk emas kedua peribadi dan skuad tenpin boling Sabah pada SUKMA XX.

Pertarungan akhir acara master yang berlangsung di Sunway Mega Lanes, Subang itu menyaksikan Nevern menewaskan pemain Wilayah Persekutuan, Muhammad Hazim Alihanafiah 2-0 dengan catatan jatuhan pin 247-217, 257-247.

Ahad lalu, Nevern mempertahankan pingat emasnya dalam acara perseorangan lelaki dengan catatan 1276 jatuhan pin, meninggalkan pingat perak untuk Danial Haiqal Izwan Suhardi (Pahang: 1270 jatuhan pin) dan gangsa kepada Hariz Adlan Azman (Pulau Pinang: 1249 jatuhan pin).

Nevern yang juga merupakan atlet kebangsaan berterima kasih kepada ibu bapa yang memberi sokongan penuh kepadanya memajukan diri dalam sukan boling.

“Tidak lupa kepada Pegawai Pembangunan Sukan Boling (MSN) Amirul Sofie yang selama ini berusaha membantu saya dalam sukan boling.

“Terima kasih juga kepada (Pembantu Menteri Blia dan Sukan Sabah), Andi Muhammad Suryady Bandy yang turut datang memberi sokongan dan semangat kepada pasukan Sabah mencapai kejayaan ini,” kata Nevern.

Nevern juga berterima kasih kepada Presiden Persatuan Tenpin Boling Sabah, Rozzainny Sham yang menjadi watak penting dengan pelbagai bantuan memburu kejayaan.

Sambil itu, Rozzainny mengucapkan syabas kepada Nevern kerana membantu skuad tenpin boling Sabah merangkul dua pingat emas.

“Nevern memang berhak menang kerana dia telah berkerja keras dengan komitmen dan disiplin tinggi dalam persiapan menghadapi kejohanan ini.

“Dia adalah satu-satunya atlet yang tidak balik Sabah berlatih. Dia berlatih sendiri di sini dan buat persiapan khusus selama dua bulan… ia berbaloi,” kata Rozzainny.

Pertandingan tenpin boling berakhir hari ini dan dua pingat emas skuad tenpin boling Sabah dari Nevern itu meletakkan Sabah pasukan ketiga terbaik dalam sukan itu di SUKMA ini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|