Pecah rumah dan curi kenderaan, tiga lelaki ditahan

Pecah rumah dan curi kenderaan, tiga lelaki ditahan

Papar: Tiga lelaki ditahan polis, selepas dipercayai terbabit dalam beberapa kes pecah rumah dan curi kenderaan yang dilaporkan berlaku di daerah ini, semalam.

Kumpulan suspek warga tempatan terbabit ditahan dalam satu operasi yang dilaksanakan Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar dengan bantuan BSJ IPD Kota Kinabalu.

Tiga suspek terbabit pecah rumah, curi kenderaan ditahan polis.

Ketua Polis Daerah Papar Deputi Superintendan Kamaruddin Ambo Sakka berkata, semua suspek yang ditahan berusia lingkungan 20 hingga 30 tahun.

Katanya, bertindak atas maklumat, satu operasi mengesan suspek dijalankan dan hasil tindakan pantas polis berjaya menahan suspek di sebuah lokasi di ibu negeri ini.

“Ketika ditahan, semua suspek mengaku terbabit dalam aktiviti jenayah membabitkan kegiatan curi kenderaan dan pecah masuk di Papar.

“Semasa ditahan, polis turut berjaya merampas beberapa barangan milik suspek termasuk sebuah kenderaan pacuan empat roda berwarna biru serta tiga unit telefon bimbit untuk membantu siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Kamaruddin berkata, semua suspek ditahan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

Katanya, kejayaan tangkapan itu adalah salah satu usaha polis dalam mengatasi masalah jenayah yang berlaku di daerah ini.

Sehubungan itu, Kamaruddin memohon orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan jenayah di daerah ini supaya memaklumkan kepada IPD Papar di talian 088-912 222 untuk tindakan segera.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|