Kota Belud: Sistem pemantauan banjir perlu diwujudkan di daerah ini sebagai langkah awal menangani ancaman bencana banjir bagi melicinkan operasi pemindahan penduduk setiap kali berlaku banjir.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan, Datuk Seri Salleh Said Keruak, berkata beliau sudah mengusulkan perkara itu kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan meminta ia diberi perhatian.
“Kita bagi penekanan tadi, kita sudah minta dengan pegawai yang berkenaan iaitu sistem monitoring (pemantauan) dan alhamdulillah di Kota Belud ini akan diwujudkan.
“Jadi, kita boleh monitor bagaimana keadaannya. Ada beberapa tempat ini kita tiada penyelesaian yang cepat, ia mengambil masa.
“Maka saya telah meminta pihak berkenaan untuk membina rumah pemindahan dan jika banjir berlaku belum ada lagi penyelesaian maka mereka boleh berpindah di situ,” katanya ketika meninjau projek tebatan banjir di Kampung Siasai Jaya, di sini, hari ini.
Mengenai projek itu, Salleh berkata setakat ini beberapa projek meninggikan tebing sungai bagi mencegah banjir dilaksanakan di beberapa kampung.
Katanya, sebelum ini projek meninggikan laluan sering dinaiki banjir turut dilaksanakan di Bulatan Jalan Lebak Moyoh yang menghubungkan daerah Kota Marudu, Kudat dan Pitas.
“Beberapa usaha telahpun dilakukan antaranya semua kita maklum di jalan raya besar di Lebak Moyoh telahpun dinaikkan.
“Ketua Menteri telah meluluskan peruntukan yang besar. Antara masalah yang kita hadapi adalah di Kampung Siasai, Lebak Engad, Lingkodon dan beberapa tempat lagi di Usukan ini,” katanya.
Banjir di daerah ini kerap berlaku berikutan keadaan Sungai Tempasuk yang menjadi cetek akibat pemendapan pasir dan lumpur selepas gempa bumi kuat berpusat di Gunung Kinabalu pada 2015.
Keadaan itu mengancam kehidupan penduduk di kawasan rendah termasuk ada yang kehilangan rumah akibat dihanyutkan banjir.
-Deasoka