Polis patahkan cubaan seludup 780 kotak minyak masak

Polis patahkan cubaan seludup 780 kotak minyak masak

Semporna: Polis berjaya mematahkan cubaan menyeludup sebanyak 780 kotak minyak masak dalam satu serbuan di sebuah rumah di Kampung Sungai Tohok, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.15 malam itu, tiga lelaki tempatan berusia 21 hingga 53 tahun dipercayai penghuni rumah berkenaan ditahan dalam operasi berkenaan.

Lori yang digunakan untuk menyeludup minyak masak di Kampung Sungai Tohok, Semporna. Ihsan IPD Semporna 

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, hasil daripada maklumat orang awam berjaya mengesan aktiviti penyeludupan barang kawalan di kawasan itu.

“Sepasukan pegawai dan anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna melakukan serbuan dan hasil pemeriksaan terdapat dua lori yang di parkir di kawasan halaman rumah berkenaan.

“Pemeriksaan lanjut terhadap dua lori itu menemui sebanyak 780 kotak yang masing-masing mengandungi 17 peket minyak masak yang dipercayai untuk diseludup ke negara jiran,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya lagi, pemeriksaan lanjut juga mendapati rumah berkenaan dipercayai digunakan tempat mengumpul dan menyimpan barang kawalan sebelum diseludup keluar untuk pasaran luar.

“Semua minyak masak dan dua lori yang dianggarkan bernilai sebanyak RM333,150 itu dirampas dan dibawa ke IPD Semporna untuk tindakan lanjut mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Manakala, tiga lelaki terbabit turut ditahan bagi membantu siasatan,” katanya.

Mohd Farhan dalam pada itu turut menasihatkan orang ramai supaya melaporkan sebarang aktiviti penyeludupan kepada pihak polis atau Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk tindakan lanjut.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|