Hormati keputusan mahkamah, fokus perkasakan parti untuk menang PRU-15 – Salleh

Hormati keputusan mahkamah, fokus perkasakan parti untuk menang PRU-15 – Salleh

Kota Belud: Penyokong dan ahli UMNO serta Barisan Nasional (BN) diingatkan supaya menghormati keputusan mahkamah dan fokus kepada usaha memperkasakan parti bagi memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Peringatan itu disuarakan Pengarah Operasi Pilihan Raya BN Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak susulan keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun penjara serta denda RM210 juta terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, kelmarin.

Salleh menyampaikan anugerah Maal Hijrah sempena sambutan Maal Hijrah 1444H peringkat daerah Kota Belud.

Beliau berkata, di sebalik keputusan itu, BN tetap meneruskan usaha untuk memantapkan parti sebagai persediaan menghadapi PRU-15 yang semakin hampir.

“Kes ini telahpun diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan dan kita sudah tentu menghormati proses mahkamah itu. Namun, bagi BN kita akan teruskan usaha-usaha kita untuk memantapkan parti, untuk kita bersedia menghadapi pilihan raya yang akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau projek tebatan banjir di Kampung Siasai Jaya, di sini, hari ini.

Salleh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan, berkata keputusan mahkamah terhadap Najib itu bukan ujian pertama bagi UMNO, memandangkan beberapa pemimpin UMNO pernah berdepan perkara sama sebelum ini.

Berikutan itu, beliau mengingatkan jentera BN Sabah supaya memegang amanat Najib untuk terus berjuang hingga BN kembali menerajui kerajaan pada pilihan raya akan datang.

“Dulupun pernah berlaku dalam sejarah UMNO, beberapa pemimpin pernah juga dihukum penjara tetapi yang penting bagi kita adalah parti lebih-lebih lagi kita akan berdepan dengan pilihan raya umum tidak lama lagi.

“Jadi, kita harus menguatkan parti kita, jentera parti kita dan perjuangan kita. Najib sendiri telah mengatakan perjuangan itu harus diteruskan,” katanya.

Terdahulu, Salleh turut menyempurnakan sambutan Maal Hijrah peringkat daerah Kota Belud di Dewan Masyarakat Tun Said, di sini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|