Libatkan semua pihak jayakan Akta Pendanaan Parti Politik – DAP

Libatkan semua pihak jayakan Akta Pendanaan Parti Politik – DAP

Kota Kinabalu: Kerajaan perlu melibatkan semua pihak bagi menjayakan Akta Pendanaan Parti Politik, kata kenyataan bersama Biro Dasar DAP.

Kenyataan bersama itu berkata, reformasi proses pendanaan parti politik adalah langkah penting bagi memulihkan negara dan membuka tabir baharu era pasca Datuk Seri Najib Razak.

“Biarpun mantan Perdana Menteri tersebut telah dipenjarakan berikutan kesalahan penyelewengan dana SRC International berjumlah RM42 juta, tanpa reformasi institusi yang bermakna bagi mengawal selia proses pembiayaan parti politik, mimpi ngeri yang dihadapi rakyat Malaysia ini mungkin bakal berulang kembali.

“Disebabkan itu, kami menyambut baik penerimaan kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk membentang Rang Undang-Undang (RUU) Pendanaan Parti Politik,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu berkata, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, sebelum ini menyatakan kerajaan dijangka membentangkan RUU itu apabila Dewan Rakyat bersidang pada Oktober nanti.

“Namun, walaupun bulan Oktober kian hampir, pihak kerajaan belum lagi melaksanakan sebarang libat urus mengenai kandungan RUU tersebut dengan parti-parti politik pembangkang.

“RUU ini merupakan suatu perundangan penting yang bakal mencorak landskap politik negara. Sepertimana RUU Anti Lompat Parti telah diberi penelitian rapi menerusi konsultasi rentas parti, RUU Pendanaan Parti Politik juga perlu menjalani proses libat urus menyeluruh yang serupa,” katanya.

Dalam kenyataan itu turut dikemukakan beberapa cadangan supaya dapat disertakan dalam RUU Pendanaan Parti Politik yang bakal dibentangkan kelak.

“Antaranya, menubuhkan Suruhanjaya Pendanaan Politik, suatu institusi yang bebas daripada eksekutif untuk menguatkuasa peruntukan akta secara adil dan saksama. Usaha penggubalan RUU ini harus berdasarkan pembaharuan institusi (institutional reform) yang menyeluruh dan selaras dgn amalan terbaik antarabangsa.

“Wewujudkan mekanisme peruntukan dana awam (public fund allocation) bagi parti-parti politik supaya skandal politik mega seperti 1MDB, LCS dan Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) dapat dielakkan.

“Membentuk Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mengenai Pendanaan Politik bagi memperhalusi butir-butir teknikal RUU tersebut sebelum ia dibentang di Dewan Rakyat,” katanya.

Jelas kenyaraan itu, semua pihak yang mahu melihat Malaysia bebas daripada belenggu rasuah mahu RUU itu diluluskan.

“Tiada siapa mahu usaha murni ini terbantut hanya kerana pihak kerajaan enggan menjalankan libat urus secara menyeluruh tetapi hanya membuat konsultasi sekadar ‘cukup syarat’ sahaja,” katanya.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan Biro Dasar DAP terdiri daripada pengerusinya, Chan Foong Hin merangkap Ahli Parlimen Kota Kinabalu dan Ahli Parlimen Batu Kawan (Pulau Pinang), Kasthuri Patto.

Selain itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Pinji (Perak), Howard Lee; ADUN Mengkibol (Johor), Chew Chong Sin; ADUN Bukit Gasing (Selangor) Rajiv Rishyakaran dan ADUN Tanah Rata (Pahang), Chiong Yoke Kong.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|