Sabah sasar 40 pingat emas, top 5 SUKMA 2022

Sabah sasar 40 pingat emas, top 5 SUKMA 2022

Kota Kinabalu: Sabah mensasarkan 40 pingat emas selain menduduki tangga lima teratas pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) edisi ke-20 yang berlangsung di ibu negara bermula 16 September depan.

Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Ellron Angin, berkata sasaran itu akan cuba dicapai menerusi penyertaan dalam 31 acara yang cabarannya akan digalas seramai 466 atlet.

Ellron ketika sidang media penyertaan Sabah dalam SUKMA XX di Kota Kinabalu.

Beliau berkata, secara keseluruhan kontinjen Sabah disertai seramai 622 delegasi termasuk 156 pegawai dan jurulatih yang akan membantu atlet sepanjang temasya sukan itu yang dijadual berlangsung hingga 24 September depan.

“Atlet Sabah akan bertarung dalam 294 acara daripada jumlah keseluruhan 426 acara yang dipertandingkan iaitu membabitkan penyertaan 69 peratus sahaja.

“Daripada 466 orang atlet itu, seramai 182 orang atau 39 peratus adalah atlet negeri yang dilahirkan melalui penganjuran Sukan Sabah (SAGA) pada 2019 di Keningau,” katanya pada sidang media penyertaan Sabah dalam SUKMA XX, di sini, hari ini.

Hadir sama Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah, Andi Muhammad Suryady Bandy; Setiausaha Tetap Kementerian selaku ‘Chief De’ Mission’ Kontinjen Sabah, Mansur Asun dan Pengarah Majlis Sukan Negeri (MSN) Sabah, Mohd Asneh Mohd Noor.

Ellron berkata, kontinjen Sabah akan bertanding dalam sukan akuatik (renang dan terjun), badminton, berbasikal, bola sepak lelaki, boling padang, gimnastik (artistik dan gimrama), hoki (lelaki dan wanita), karate, memanah, menembak, olahraga, pelayaran, pencak silat dan skuasy.

“Selebihnya ialah tenpin boling, wushu, angkat berat, bola jaring, bola keranjang (lelaki dan wanita), bola tampar (lelaki dan wanita, acara dewan dan pantai), E-Sport (acara Phone Mobile Lagend), golf, judo, kanu, kriket lelaki, MuayThai, petanque, ragbi (lelaki dan wanita), sepak takraw (lelaki dan wanita), tenis dan tinju,” katanya.

Beliau berkata, rekod terbaik penyertaan Sabah ialah SUKMA Ke-19 di Perak pada 2018 dengan pencapaian 33 pingat emas, 27 perak dan 46 gangsa serta menduduki tangga keenam daripada 15 kontinjen yang mengambil bahagian termasuk pasukan negara jiran, Brunei Darussalam.

Selain itu, katanya kejayaan Sabah pada SUKMA Perak juga diserikan lagi dengan kejayaan atlet memanah Eugenius Lo Foh Soon yang dinobatkan sebagai Olahragawan SUKMA 2018 selepas memenangi empat pingat emas dan satu pingat perak.

Ellron berkata persiapan kontinjen SUKMA Sabah kali ini dilaksanakan sejak 2019 dengan perbelanjaan keseluruhan mencecah RM24.3 juta, termasuk RM3.4 juta perbelanjaan ketika berlangsungnya temasya itu nanti.

“Saya penuh yakin, berdasarkan latihan gigih yang tidak pernah putus sejak kes COVID-19 meletus pada awal tahun 2020, kita berada pada landasan yang baik untuk mencipta sejarah di SUKMA kali ini.

“MSN Sabah berjaya mengekalkan ‘momentum’ latihan yang baik meskipun terpaksa mengharungi prosedur operasi standard (SOP) sukan yang ketat khususnya pada awal 2020 hingga April tahun ini,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|