Pelajar antarabangsa dari 22 negara ‘berkampung’ di Sabah

Pelajar antarabangsa dari 22 negara ‘berkampung’ di Sabah

Kota Kinabalu: Sekumpulan pelajar antarabangsa dari Think Global School membabitkan 22 negara ‘berkampung’ di Sabah selama dua bulan untuk mengenal budaya, makanan setempat dan kehidupan masyarakat di negeri ini.

Menurut pemilik syarikat Borneo Sandakan Tours, Gary Solactico, kedatangan pelajar berkenaan adalah hasil kerjasama dengan syarikat pelancongan dari India.

Ag Ahmad Zaki bekerjasama sebagai tenaga pengajar mengenai teknik asas fotografi di Kota Kinabalu.

“Mereka datang ke sini sebagai salah satu program pembelajaran dan ia adalah hasil kerjasama dengan sebuah agensi di India.

“Sepatutnya pelajar ini datang ke Sabah sebelum pandemik Covid-19 tetapi tergendala dan apabila April lalu kerajaan membuka semula sempadan, kita hubungi pihak sekolah untuk meneruskan program ini,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Gary berkata, syarikatnya itu bertanggungjawab untuk mengendalikan lokasi yang dijadikan bahan untuk pelajar berkenaan termasuk membabitkan alam sekitar, budaya dan sosia ekonomi di negeri ini.

“Kita diberi modul panduan mengenai objektif mereka untuk belajar dan pelajar ini bukan datang semata-mata tetapi juga untuk mengkaji kehidupan masyarakat di Sabah dan seterusnya menghasilkan artikel mengenainya.

“Setiap minggu pelajar ini akan belajar setiap kaum yang ada di negeri ini termasuk Bajau Samah, Dusun, Murut dan sebagainya,” katanya.

Katanya, menerusi program itu, ia sekali gus membantu kerajaan merancakkan semula aktiviti pelancongan kerana pelajar kebanyakan datang dari pelbagai negara.

“Mereka yang tinggal di Sabah secara tidak langsung akan buat hantaran atau mesej di media sosial kepada rakan dan keluarga mereka serta maklumkan mengenai apa yang ada di Sabah.

“Macam-macam perkara mereka pelajari sepanjang 47 hari bukan hanya menetap di satu tempat tetapi banyak lokasi untuk mereka menelusuri kehidupan rakyat Sabah.

“Mereka ini datang dari negara seperti Ecuador, Peru, Ghana, Afrika Selatan dan banyak lagi. Sudah tentu ini akan memberi impak kepada industri pelancongan kita dengan menguar-uarkan apa yang ada di Sabah,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jungle Lore Student Expedition, Gaurav Athalye berkata, lawatan pertama kumpulan pelajar antarabangsa itu ke Sabah akan disusuli dengan kumpulan pelajar lain pada tahun depan.

“Kumpulan pelajar yang berusia antara 15 hingga 17 tahun dari pelbagai negara ini diberi tugas untuk mempelajari makanan dan masakan tradisi suku kaum Kadazandusun, Murut dan Bajau.

“Dengan kerjasama Borneo Sandakan Tours, kami membawa pelajar antarabangsa mengelilingi Sabah sepanjang tempoh dua bulan sambil mempelajari kulinari tradisional suku kaum di negeri ini.

“Antara lokasi dikunjungi adalah Mari-Mari Cultural Village dan Gunung Trusmadi, Tambunan, kemudian mereka dikehendaki mendokumentasikan apa yang dipelajari melalui rakaman video dan gambar yang diambil sepanjang program berlangsung,” katanya.

Tambah beliau lagi, kerjasama turut dilakukan bersama jurucakap Sony Malaysia di Sabah, Ag Ahmad Zaki Abu Bakar bagi mengajar pelajar-pelajar ini nengenai teknik asas fotografi dan proses menyunting gambar sepanjang sesi pembelajaran mereka.

“Bantuan pakar fotografi dalam program ini membolehkan hasil kerja pelajar menjadi lebih menarik dan ia akan dimuat naik ke dalam blog Think Global School,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|