Lori tangki terbabas masuk gaung

Lori tangki terbabas masuk gaung

Kota Marudu: Seorang pemandu lori 10 tan berdepan detik cemas apabila kenderaan dipandunya terbabas sebelum terjunam ke dalam gaung setinggi enam meter di Kampung Manggaris 1, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 6 petang itu, pemandu berusia 45 tahun terbabit bagaimanapun terselamat tanpa sebarang kecederaan.

Pasukan bomba bertungkus-lumus mengeluarkan mangsa dari tempat duduk pemandu

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.29 petang.

Katanya, seramai enam pegawai dan anggota bersama jentera terus dikerah ke lokasi kejadian untuk menyelamatkan mangsa.

“Setibanya pasukan bomba di lokasi kejadian, kemalangan melibatkan sebuah lori yang membawa muatan minyak petrol.

“Terdapat seorang mangsa terlibat dalam kemalangan ini dan dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, pasukan bomba kemudiannya bertindak membuka kepala bateri lori berkenaan dan memasang sawar-sawar sementara menunggu lori bantuan dari Kota Belud untuk menyedut minyak lori yang terlibat kemalangan.

Katanya, pasukan operasi kemudiannya menjalankan pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan pada jam 8.18 malam.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|