Kota Kinabalu: Perkhidmatan bas elektrik pertama di Sabah yang memulakan operasi percubaan secara percuma di bandar raya ini pada Jun lalu mendapat sambutan yang baik daripada pengguna pengangkutan awam.
Perkhidmatan dikenali sebagai EbussKK itu yang setakat ini menggunakan sebuah bas, beroperasi di antara Menara Kinabalu di Likas dengan Politeknik Kota Kinabalu (PKK) di Sepanggar.
Penyelia pembinaan, Johan Abdul Shukor, 50, yang menaiki perkhidmatan itu ke tempat kerja menyifatkan inisiatif yang diambil anak syarikat kerajaan negeri, Qhazanah Sabah Berhad (QSB) itu sebagai langkah yang sangat bermanfaat.
Beliau turut menyifatkan menaiki perkhidmatan bas elektrik itu umpama perjalanan ke masa hadapan sejajar usaha menambah baik sistem pengangkutan awam.
“Perkhidmatannya selesa kerana ruang dalam bas yang lebih luas dan berhawa dingin serta kelihatan lebih moden. Ia umpama perjalanan ke masa hadapan,” katanya.
Beliau juga tidak menyangka bas berkenaan beroperasi menggunakan bateri sepenuhnya.
Katanya, selama ini beliau hanya mengetahui mengenai kewujudan bas elektrik melalui televisyen dan tidak pernah terfikir dapat merasai sendiri menaikinya.
Sementara itu, pekerja pejabat, Nur Hasliana, 35, yang menaiki perkhidmatan berkenaan dari Universiti Apartment, di sini, ke Sepanggar, berkata bas elektrik itu adalah usaha permulaan yang baik ke arah memodenkan perkhidmatan pengangkutan awam di ibu negeri.
“Sekarang sudah 2022, jadi sudah tentu warga Kota Kinabalu mahukan pengangkutan awam yang sistematik. Usaha ini dapat membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas dan diharap boleh juga mengurangkan kos sara hidup.
“Penggunaan bas elektrik juga baik untuk alam sekitar negeri ini,” katanya.
Sementara itu, Ketua Kejuruteraan dan Tenaga QSB, Jeremy Kimsin, berkata perkhidmatan percubaan EbussKK itu bertujuan mengumpul maklum balas pelbagai pihak termasuk pihak berkuasa seperti Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
“Kita juga perlu mendapatkan maklum balas daripada pengusaha perkhidmatan pengangkutan awam sedia ada seperti bas dan bas mini,” katanya.
Selain itu, beliau berkata perkhidmatan percubaan bas elektrik di laluan antara Menara Kinabalu dan Sepanggar itu juga bagi menguji ketahanan bateri yang digunakan untuk mengoperasikan kenderaan berkenaan selain aspek penyelenggaraan yang perlu dilaksanakan.
Perkhidmatan percubaan bas elektrik berkenaan dirasmikan Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya pada Jun lalu.
-Deasoka