Wujud kegiatan aktif didakwa merekrut warga Lahad Datu sertai kesultanan Sulu – MHO

Wujud kegiatan aktif didakwa merekrut warga Lahad Datu sertai kesultanan Sulu – MHO

Kota Kinabalu: Pertubuhan Kemanusian Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) mendakwa terdapat kegiatan aktif yang dilakukan oleh pihak-pihak tertentu untuk merekrut warga tempatan di Lahad Datu dengan memberikan dokumen pengenalan diri yang dikaitkan dengan kesultanan Sulu.

Setiausaha MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, sukarelawan MHO di Sabah pada Isnin lalu dimaklumkan melalui aplikasi WhatsApp berhubung kegiatan itu.

“Dimaklumkan bahawa terdapat kegiatan aktif yang dilakukan oleh pihak-pihak tertentu dalam merekrut warga tempatan di Sabah khususnya di Lahad Datu dengan memberikan dokumen-dokumen pengenalan diri yang dipercayai ada kaitan dengan kesultanan Sulu dan juga perakuan taat setia individu-individu penduduk Sabah kepada kesultanan Sulu.

“Hantaran WhatsApp itu turut mengandungi gambar-gambar yang berbentuk seakan dokumen identiti diri bagi Kesultanan Sulu dan juga perakuan taat setia individu-individu penduduk Sabah kepada Kesultanan Sulu,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, umum mengetahui bahawa kesultanan Sulu adalah pihak yang berkaitan dan bertanggungjawab terhadap serangan pengganas Sulu di Lahad Datu yang mana ia jelas adalah suatu tindakan berbentuk kesalahan keganasan dan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong.

“Serangan berdarah pengganas Sulu di Lahad Datu itu terjadi pada 2013 dan telah mengorbankan 12 wira negara yang merupakan anggota keselamatan negara.

“Kegiatan mana-mana pihak atau individu yang merekrut rakyat tempatan di negeri ini untuk mengikrarkan taat setia kepada kesultanan Sulu dan juga memberikan dokumen pengenalan diri yang dikaitkan dengan kesultanan Sulu kepada rakyat tempatan di Sabah adalah jelas suatu kesalahan menderhaka di bawah Kanun Keseksaan kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan juga Yang di-Pertua Negeri Sabah,” katanya.

Hishamuddin berkata, MHO mengecam segala usaha dan kegiatan yang dilakukan oleh mana-mana pihak dalam merekrut kumpulan untuk memberikan taat setia kepada anasir asing khususnya kesultanan Sulu.

“Pihak MHO juga mengecam usaha dan kegiatan untuk bersekongkol, menyokong atau memihak dengan kumpulan penceroboh, pengancam keselamatan atau pengganas.

“Semua pihak juga diseru menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa berkenaan kegiatan mana-mana individu, gerakan atau kumpulan yang cuba merekrut atau pihak yang cuba menceroboh dan mencemarkan kedaulatan negara,” katanya.

Sehubungan itu, katanya pihak MHO akan mengerahkan sukarelawannya khususnya yang berada di Sabah untuk membuat laporan polis berkenaan hantaran WhatsApp tersebut dan menyeru pihak polis untuk menyiasat gambar-gambar yang berbentuk seakan dokumen identiti diri yang dikaitkan dengan kesultanan Sulu dan juga perakuan taat setia individu penduduk Sabah kepada kesultanan Sulu itu.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|