Sembilan rumah setinggan musnah terbakar

Sembilan rumah setinggan musnah terbakar

Kota Kinabalu: Sembilan rumah setinggan di Kampung Saga 3, Jalan Numbak, di sini, terbakar, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, semua rumah yang berkeluasan keseluruhan 371 meter persegi berkenaan dilaporkan musnah sepenuhnya.

Seramai 20 pegawai dan anggota pasukan bomba bertungkus lumus mengawal api daripada terus merebak ke rumah berhampiran. Pix Ihsan Bomba

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.54 pagi.

Katanya, seramai 20 pegawai dan anggota bersama jentera serta Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas dan Kota Kinabalu terus dikerah ke lokasi kejadian.

Api kebakaran dilaporkan berjaya dikawal pada jam 12.49 tengah hari daripada terus merebak. Pix Ihsan Bomba 

“Kebakaran membabitkan sembilan rumah jenis tidak kekal dan operasi pemadaman terus dijalankan menggunakan dua aliran sepanjang 100 meter dengan tiga pancutan.

“Operasi pemadaman yang menggunakan sumber air dari jentera bomba berkenaan akhirnya berjaya mengawal api kebakaran pada jam 12.49 tengah hari,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dan operasi pemadaman tamat sepenuhnya pada jam 1.43 petang.

Katanya, siasatan lanjut berhubung punca kejadian serta jumlah kerugian masih sedang giat dijalankan pasukan forensik JBPM.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|