KPDNHEP serbu empat premis jual ‘ScanDisk’ tiruan, sitaan bernilai RM41,376.50

KPDNHEP serbu empat premis jual ‘ScanDisk’ tiruan, sitaan bernilai RM41,376.50

Kota Kinabalu: Empat premis perniagaan elektronik di daerah ini yang dipercayai menjual peralatan jenama “SanDisk” tiruan diserbu pihak berkuasa, semalam.

Operasi yang dijalankan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) itu berjaya menyita 1,479 pemacu pena (pendrive) dan kad memori pelbagai kapasiti.

Anggota penguat kuasa KPDNHEP memeriksa barang tiruan jenama ‘SanDisk’ dalam serbuan di empat premis di sekitar Kota Kinabalu, semalam.

Pengarahnya, Georgie Abas berkata, serbuan yang dijalankan dua pasukan pegawai penguatkuasa KPDNHEP Sabah turut disertai lima wakil kepada pemilik cap dagang berdaftar jenama “SanDisk”.

Katanya, semua rampasan berkenaan dianggarkan bernilai RM41,376.50 dan tindakan kes diambil mengikut Akta Cap Dagang 2019.

Antara barangan jenama ‘SanDisk’ disyaki tiruan yang dirampas.

“Keempat-empat pemilik premis perniagaan terbabit disyaki melakukan kesalahan mengikut seksyen 102(1),(b)&(c) Akta Cap Dagangan 2019 iaitu mempunyai dalam milikan bagi maksud perdagangan barang- barang yang suatu cap dagangan berdaftar dipakaikan dengan salah.

“Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap barang atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua- duanya dan bagi pertubuhan perbadanan boleh didenda tidak melebihi RM15,000.00 bagi setiap barangan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Sementara itu, Georgie berkata, pihak KPDNHEP akan terus menguatkuasakan undang-undang mengikut Akta Cap Dagangan 2019 bagi membanteras penjualan barangan tiruan dan aktiviti cetak rompak di pasaran.

Katanya, para peniaga diingatkan supaya lebih bertanggungjawab serta menghormati harta intelek orang lain di samping sentiasa berusaha membuat semakan status kesahihan dan ketulenan barangan yang dibekalkan.

“Pengguna juga dinasihati supaya tidak menyokong jualan barangan tiruan di pasaran yang belum tentu terjamin dari segi kualiti dan keselamatannya.

“KPDNHEP juga sentiasa mengalu-alukan sebarang maklumat serta aduan berkaitan salah laku peniaga,” katanya.

Menurutnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung sebarang aktiviti salah laku seperti ini boleh disalurkan kepada KPDNHEP menerusi talian Whatsapp 019-279 4317 dan 019-848 8000.

“Maklumat juga boleh disalurkan menerusi portal e-aduan.kpdnhep.gov.my, pusat panggilan 1-800-886-800 atau emel ke e-aduan@kpdnhep.gov.my,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|