Ketua jabatan sambil lewa diberi amaran

Ketua jabatan sambil lewa diberi amaran

Tongod: Elemen tadbir urus kurang cekap dalam kalangan ketua jabatan tidak harus berulang jika tidak mahu kelemahan mereka dirujuk ke peringkat tertinggi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah memberi amaran sebarang tindakan sambil lewa melibatkan ketua jabatan di peringkat daerah tidak harus dipandang ringan.

Beliau berkata demikian bagi merujuk langkah Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) daerah Tongod yang menutup operasi bekalan air selama lebih seminggu melibatkan 18 kampung di Mukim Tongod dan Penangah dengan alasan tidak cukup peruntukan membeli diesel untuk mesin pam air.

“Sikap sambil lewa Jabatan Air Tongod dengan memberi alasan kurang matang hingga menyebabkan lebih 10,000 penduduk terjejas di pekan Tongod dan Penangah adalah amat dikesali.

“Saya dihujani panggilan telefon dan hantaran WhatsApp daripada penduduk terlibat. Mungkin Jabatan Air Daerah tidak mengemukakan bajet kecemasan tahunan yang cukup kepada ibu pejabat,” katanya selepas melawat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tongod, di sini, semalam.

Lawatan beliau itu adalah bagi meninjau keadaan blok asrama lelaki SMK Tongod yang terlibat dalam kebakaran pada 17 Julai lalu.

Beliau berkata, penutupan bekalan air di kawasan itu turut menyukarkan pasukan bomba melaksanakan operasi memadam api dalam kejadian itu.

Sehubungan itu, Masiung yang juga Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) mahu semua ketua-ketua jabatan di daerah ini perlu peka dengan tugas masing-masing.

“Janganlah sampai timbul masalah baru nak bertindak sehingga menimbulkan perkara negatif kepada penduduk setempat,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|