ADUN Kiulu gesa KPM percepat bina SMK Nabalu

ADUN Kiulu gesa KPM percepat bina SMK Nabalu

Kiulu: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mempercepatkan pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Nabalu.

Beliau berkata, pembinaan sekolah tersebut sepatutnya tidak perlu ditangguhkan lagi kerana tapak pembinaan sudah dikenal pasti dan disahkan selamat.

“Berapa lama lagi kita perlu menunggu pembinaan sekolah itu?

“Dengan adanya SMK Nabalu sudah pasti akan membantu mengurangkan masalah kesesakan di sekolah berhampiran dan kesesakan yang berlaku apabila pelajar baharu mendaftar,” katanya,

Joniston berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Tun Fuad Stephens di sini, semalam.

Turut hadir ialah Pengetua SMK Tun Fuad Stephens, Awang Seman Ag Tahir dan Presiden PIBG, Koolin Kook Kiong.

Pada 28 Januari lalu, Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Mohamad Alamin melawat Kampung Giok berhampiran Pekan Nabalu untuk meninjau tapak baru pembinaan SMK Nabalu.

Dalam lawatan itu, Mohamad mengumumkan bahawa pembinaan sekolah tersebut telah dimasukkan untuk pelaksanaan di bawah Rolling Plan Ketiga Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

SMK Nabalu pada mulanya dibina di tapak berhampiran pada 2012 tetapi kerja-kerja binaan dihentikan berikutan tapak tersebut tidak selamat.

Jabatan Mineral dan Geosains, antara agensi lain yang berkaitan, telah menilai tapak binaan baru dan menentukan ia sebagai lokasi yang selamat untuk pembangunan sekolah.

Di samping itu, Joniston turut menggesa pihak yang berkenaan agar mempercepatkan proses pembinaan asrama yang dibiayai oleh Perbadanan Pinjaman Sabah untuk SMK Tun Fuad Stephens.

Sementara itu, beliau yang juga Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan, dan Alam Sekitar turut menggalakkan pelajar yang bakal mengundi kelak agar melengkapkan diri dengan pengetahuan tentang isu semasa.

Katanya, golongan muda kini mempunyai tanggungjawab untuk memahami isu-isu kritikal dan landskap politik negeri dan negara mereka berikutan pelaksanaan undi 18 tahun.

“Kita hidup dalam dunia tanpa sempadan yang menghidangkan pelbagai jenis berita. Ini adalah ujian untuk anak-anak kita menilai perkara yang benar dan tidak benar. Saya mahu anak-anak kita berfikir secara kritis dan membuat pilihan yang terbaik.

“Pada masa yang sama, ibu bapa dan guru bertanggungjawab membimbing anak-anak muda kita agar mereka lebih memahami dan mampu membentuk pandangan mereka sendiri,” katanya.

Pada majlis itu, Joniston turut menyumbangkan RM5, 000 kepada SMK Tun Fuad Stephens untuk pembelian dua unit penyaman udara dan berjanji menyumbang kepada tabung yang disediakan oleh sekolah untuk memberi ganjaran kepada pelajar yang mendapat keputusan A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|