Sabah tuan rumah Persidangan Pelancongan Dunia (WTC) 2022

Sabah tuan rumah Persidangan Pelancongan Dunia (WTC) 2022

Kota Kinabalu: Sabah akan menjadi tuan rumah Persidangan Pelancongan Dunia (WTC) 2022 yang akan diadakan di bandar raya ini pada 28 hingga 30 November depan.

Dengan tema ‘Tourism Futures Reimagined’, WTC 2020 disasar dihadiri kira-kira 700 orang delegasi antarabangsa dan tempatan, termasuk Menteri-Menteri Pelancongan, pegawai-pegawai kanan kerajaan, ahli akademik dan tokoh industri pelancongan dari seluruh dunia.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri memaklumkan perkara itu kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor ketika kunjungan hormat pejabatnya di Menara Kinabalu, hari ini.

Hajiji mengalu-alukan penganjuran persidangan antarabangsa itu di Sabah dan berharap WTC 2022 akan melonjakkan lagi pemulihan industri pelancongan di negeri ini.

Menurut Nancy, penganjuran WTC 2022 akan dilaksanakan secara kerjasama strategik di antara Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), kerajaan Sabah dan Lembaga Pelancongan Sabah (STB).

Katanya, WTC adalah persidangan eksklusif anjuran Malaysia dengan kerjasama World Tourism Organization (UNWTO) yang diadakan setiap tiga tahun sekali.

Penganjuran buat kali keenam pada tahun ini adalah susulan daripada kejayaan penganjuran kali kelima sebelum ini.

Beliau memaklumkan, sejak penganjuran WTC di Kota Kinabalu lebih 12 tahun yang lalu, pemilihan Sabah sebagai tuan rumah buat kali kedua tanda pengiktirafan terhadap komitmen dan kepimpinan kerajaan negeri yang sentiasa menerajui pembangunan sektor pelancongan sehingga berjaya meletakkan Sabah sebagai destinasi pelancongan utama di persada dunia.

Turut hadir ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong; Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan) MOTAC, Mohd Zamri May Zain dan pegawai-pegawai kanan MOTAC.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|