SAPP tetap bantah Empangan Kaiduan

SAPP tetap bantah Empangan Kaiduan

Papar: Parti Maju Sabah (SAPP) kekal dengan pendiriannya menentang cadangan pembinaan Empangan Kaiduan, di sini.

Timbalan Presidennya, Edward Dagul, berkata masih ada pilihan lain yang lebih murah, berkesan dan mesra alam untuk menyediakan air bersih selain membina empangan berkenaan.

Beliau berkata, penduduk kampung di kawasan yang terbabit dengan cadangan pembinaan empangan itu bimbang mengenai keselamatan dan kehidupan mereka yang mungkin terjejas jika cadangan itu diteruskan.

“Kita difahamkan bahawa beberapa cadangan dikemukakan kepada kerajaan termasuk menyalurkan air dari Ulu Padas dekat Sipitang yang mana ia adalah alternatif yang lebih murah selain dapat meminimakan kesan sampingan memandangkan kawasannya kurang penduduk,” katanya.

Beliau berkata demikian pada pelancaran Mesyuarat Agung Tahunan Cawangan SAPP Zon Selatan yang dirasmikan Presidennya, Datuk Seri Yong Teck Lee di Balairaya Langkuas, Kinarut, baru-baru ini.

Sementara itu, Edward berkata, SAPP menggariskan tujuh nilai teras budaya parti itu sebagai panduan komitmen dalam memperjuangkan nasib rakyat.

“Kita akan terus berjuang demi rakyat, tidak kira sama ada kita berada dalam kerajaan atau tidak.

“Kita juga mahukan ahli yang berkualiti berbanding kuantiti kerana kuantiti ahli sebenarnya tidak dapat diterjemahkan kepada undi.

“Walaupun SAPP hanya ada seorang wakil rakyat dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu presiden kita, mesejnya boleh didengar dengan lantang dalam dewan,” katanya.

Beliau mengambil contoh Parti Konservatif di United Kingdom yang sudah 20 kali berkuasa hanya mempunyai kira-kira 160,000 ahli tetapi mentadbir negara yang mempunyai populasi lebih 60 juta orang.

Katanya, apa yang penting ialah perjuangan parti dan bagaimana menyebarkan mesej kepada pengundi.

“Teknologi maklumat yang bergerak pantas di seluruh dunia bermakna maklumat boleh dikongsi lebih cepat dan audien yang luas dalam masa singkat berbanding cara lama interaksi langsung untuk menyampaikan apa yang kita mahu perkatakan,” katanya.

Dalam pada itu, Edward yang juga Pengerusi SAPP Zon Selatan berkata, pihaknya sudah bersedia untuk mempertaruhkan calon bertanding di kerusi Parlimen Papar pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Sementara itu, Teck Lee berkata Perikatan Nasional (PN) yang dibentuk bersama SAPP sebelum ini masih kukuh memandangkan ia adalah pendahulu Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

“SAPP akan bertanding di bawah satu logo GRS pada PRU akan datang, tujuannya ialah untuk mengelak sebarang kekeliruan dalam kalangan pengundi, bukan kerana kita meninggalkan PN.

“Kita ada maruah, kita mesti ingat PN dibentuk sebelum GRS,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|